Sudirman Mohd Tahir


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan aktiviti kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri tahun ini disambut dengan berlapang dada oleh semua rakyat Malaysia terutama umat Islam yang meraikannya.

Walaupun pilu di hati, tapi demi kesejahteraan bersama arahan itu perlu dipatuhi terutama dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dan selain mengelakkan wujudnya kluster balik kampung.

Begitu juga dengan rapper popular yang juga anggota kumpulan K-Clique, MK apabila sekali lagi tidak dapat pulang berhari raya di kampung halamannya di Tawau, Sabah.

MK, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, tidak ada apa yang perlu ditangisi kerana perkara itu dilalui semua orang.

"Ini tahun kedua saya tidak dapat balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Tawau. Kalau nak cakap sedih, memang sedih, tapi nak buat macam mana. Sebagai rakyat Malaysia kita kena ada rasa tanggungjawab dalam diri.

"Bagi saya, kalau tidak dapat balik kampung sekali pun, tidak bermakna kita tidak boleh beraya. Saya percaya, setiap orang ada cara tersendiri meraikan Aidilfitri walaupun dalam suasana pandemik selain tidak boleh balik kampung.

"Untuk saya, pada pagi raya saya menghubungi keluarga di kampung menerusi panggilan video. Kecanggihan teknologi dan komunikasi hari ini tidak menghalang untuk kita dekat dengan keluarga. Walaupun jauh di mata, tetap dekat di hati," katanya.

Namun, jauh di sudut hati MK tetap berharap kerajaan akan membenarkan rentas negeri selepas tamat PKP nanti.

MK sambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.
MK sambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Berkongsi mengenai kehidupan dilalui, MK yang sebelum ini menjadi perhatian ramai ekoran pembabitannya dalam aktiviti jemaah tabligh berkata, apa dibuat itu lebih kepada mencari keseimbangan hidup.

"Saya keluar tiga hari untuk cari keseimbangan dan untuk segarkan pemikiran dan sedarkan diri semula. Pendek kata, lebih kepada nak perbaiki diri, nak seimbangkan dunia dan akhirat. Apa yang jauh selama ini saya nak dekatkan kembali pada diri.

MK manfaatkan teknologi untuk berhubung dengan keluarga ketika Aidilfitri.
MK manfaatkan teknologi untuk berhubung dengan keluarga ketika Aidilfitri.

"Tidak bermaksud saya perlu berubah 360 darjah, tapi ia lebih kepada nak cari keseimbangan. MK tetap MK, tapi Muhammad Hairi Amin yang akan mencari keseimbangan dunia akhirat. Saya bersyukur dengan rezeki dan peluang yang ada. Saya tak mahu lupa diri.

"Disebabkan itu, menerusi kelas dan aktiviti yang dilakukan ketika menyertai jemaah tabligh itu banyak mengajar saya perkara mengenai dunia dan akhirat. Insya-Allah, dari sehari ke sehari saya cuba memperbaiki diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:30 AM