KUNA bersama anak bongsunya, Elysha yang mendapat 6A dalam keputusan SPM, baru-baru ini. FOTO Instagram Kuna
KUNA bersama anak bongsunya, Elysha yang mendapat 6A dalam keputusan SPM, baru-baru ini. FOTO Instagram Kuna
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Kuna Muzani, 51, bersyukur dan puas dapat membesarkan tiga anaknya hingga masing-masing berjaya belajar ke universiti dengan duit hasil titik peluh dalam bidang lakonan.

Kuna atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani yang juga ibu tunggal berkata, dia akan terus aktif berlakon selagi mendapat peluang dan tawaran meskipun bukan untuk watak utama kerana faktor usia.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hasil daripada duit berlakon yang diterima selama ini dapat membesarkan tiga anak, sehingga mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

"Dua anak lelaki saya yang berusia awal 20-an melanjutkan pengajian mereka di universiti dan seorang daripadanya sudah pun habis belajar serta mendapat ijazah. Manakala, anak gadis saya yang baru dapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga akan belajar di universiti.

"Jadi, saya amat bersyukur kerana duit hasil lakonan diperoleh selama ini dapat membantu membesarkan anak-anak. Pada usia sekarang, rasanya saya pun dah tak larat sangat nak masak nasi lemak dan berniaga macam dulu lagi selain fokus berlakon," katanya.

Difahamkan Kuna pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas suami dikenali Rizalman dan mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 Disember 2001.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak iaitu Nik Muhamad Hakimi Rizalman, Nik Haikhal dan Elysha.

Terdahulu, Kuna hadir pada acara sidang media secara virtual drama Nenda lakonannya bersama Fauziah Nawi, Didie Alias dan Mandy Chong yang menemui penonton di slot Sakura TV3 dari Isnin hingga Khamis, jam 6 petang.

Selain itu, Kuna juga mengingatkan kepada bakat-bakat baharu bidang lakonan agar tidak cepat berasa hati sekiranya menerima teguran daripada pelakon senior dan anggap sebagai menimba pengalaman.

"Bagi pelakon baharu yang dapat berlakon dengan 'otai', anggap ia sebagai pengalaman. Malah, sekiranya lakonan ditegur ambil positif kerana kami sebenarnya nak kalian menjadi bagus kerana kerja berlakon ini berpasukan.

"Kami mahu kita semua bagus dalam projek lakonan dijayakan. Jadi, kami menegur itu bukan sebab nak tunjuk diri dah bagus sangat, tetapi sekadar berkongsi ilmu yang baik untuk kita semua dalam satu produksi agar sama-sama menjadi bagus," katanya.

Kuna yang lebih dua dekad bergelar pelakon pernah dikenali dengan drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe, Nur, Hati Yang Dikhianati dan banyak lagi. Dia juga adalah adik kepada pelakon Kuza dan kakak pelakon, Kuniey juga mempunyai pertalian dengan kerabat istana Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:30 PM