KUNA Muzani. FOTO arkib NSTP
KUNA Muzani. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon berpengalaman, Kuna Muzani bersetuju dengan kenyataan pengarah Isma Yusoof berkenaan segelintir pelakon baru 'kayu' dan kurang persediaan untuk berlakon.

Kuna, 50, atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani berkata, 'trend' sekarang menyaksikan pelakon dipilih berdasarkan bilangan pengikut di Instagram dan bukan kerana bakat.

"Bakat mereka kita tak nampak dan belum nampak. Seorang pengarah pula kerjanya bukan setakat sebut 'action' dan 'cut', tapi kena tahu keseluruhan cerita, 'shoot', lokasi dan pelbagai tanggungjawab lain. "Kalau dia di situ hanya untuk ajar seorang pelakon, masanya banyak terbuang. Artis-artis lain pun tiada masa nak tunggu dia belajar di situ," katanya.

Pelakon drama bersiri Nasi Kerabu Untuk Che Abe ini juga menasihatkan pelakon baru ambil tanggungjawab dengan menyertai kelas lakonan.

"Kalau dah tahu tak pandai, pergilah belajar. Bayarlah untuk belajar lakonan dengan Fauziah Nawi. Cuba fahami sesuatu watak dan apa yang skrip itu nak. Jadi orang terangkan pun dia dah faham.

"Ini apabila orang tanya konti (kesinambungan), ditanya kita kembali konti itu apa?" katanya.

Kuna memaklumkan perkara ini pernah dilaluinya ketika berlakon dengan seorang pelakon baru.

"Saya sebagai orang lama nak tegur nanti dikatanya saya diva pula. Tapi kalau setiap hari 'blur' sampai saya nak kena tunggu, akhirnya saya tegur juga.

"Namun, saya tegur cara baik dan tanya dia faham tak babak ini berkenaan apa? Saya minta dia faham cerita dan kena baca semua dialog. Ini kerana saya boleh ingat semua dialog dia. Dia tiga kali gagal ingat dialog sedangkan saya pula boleh ingat," katanya.

Menurutnya, dia bukan mahu menunjuk lagak tetapi dalam sesebuah drama, mereka adalah satu pasukan. "Saya memang tak nak dia tak bagus. Apabila drama meletup, dia pun dikenali dan semua orang dapat tempias. Kita akan dapat tawaran berlakon berterusan. Kalau saya pentingkan diri, lantak dialah nak buat apapun. Bukannya dia bayar gaji saya," katanya.

Kuza berkata, pelakon baru adalah pelapis. Jika sudah berjaya, sentiasalah merendah diri dan jangan bersikap sombong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:25 PM