Julia Farhana Marin
Julia Farhana Marin
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Bukan tiada tawaran berlakon, tetapi Julia Farhana Marin, 28, lebih memilih watak ditawarkan ketika ini.

Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali ini, dia akan menolak jika ditawarkan watak yang sama dan banyak kali dilakonkan sebelum ini.

"Contohnya, jika saya ditawarkan watak jahat yang sama atau skrip yang lebih kurang sama, saya akan menolaknya.

"Terus-terang, saya sangat rindu untuk kembali berlakon tapi selepas bertudung, watak ditawarkan juga terhad kepada watak baik dan 'soft spoken'," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas watak diidamkan, kata pelakon filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang ini, dia sangat berharap penerbit dan pengarah menawarkannya watak berat yang boleh mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

"Saya masih berharap dapat watak dalam cerita aksi atau drama berat selepas ini.

"Mungkin belum ada rezeki untuk saya bawa watak yang berbeza dan skrip yang ada kelainan,"katanya.

Mengenai platform online pula, kata Julia, banyak skrip untuk platform OTT yang tidak sesuai dengan penampilan dirinya yang sudah bertudung.

"Semua skrip untuk platform OTT memang bagus tapi tidak sesuai dengan imej saya yang sudah bertudung sekarang.

"Saya juga terpaksa kuatkan diri untuk menolak tawaran terbabit,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Julia turut berlakon dengan suaminya dalam telemovie berjudul Zero To Millionaire.

"Terus-terang, saya berlakon dalam cerita ini untuk melepaskan rindu pada bidang lakonan. Saya bawa watak Wati, pengurus di rumah orang-orang tua.

"Saya juga paksa suami berlakon sama, jadi tiada masalah untuk babak bersentuhan. Apa yang sukar, bila suami baca dialog, saya berasa nak tergelak kerana kami tak pernah berlakon sama," katanya.

Selain itu, buat masa ini, Julia juga fokus kepada perniagaan diceburi dan pengajiannya di universiti.

"Sementara menanti watak mencabar diidamkan, saya beri tumpuan pada perniagaan iaitu jenama sendiri yang akan dilancarkan tidak lama lagi. 

"Saya jalankannya bersama rakan kongsi, pelakon, Nelissa Nizam. Insya-Allah, kami akan keluarkan koleksi baju muslimah nanti," katanya yang turut membantu suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 32, di Regalion Clinic di Kota Damansara.

Julia berkata, dia kini mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Psikologi di Open University Malaysia (OUM).

Julia berkata, dia bersyukur kerana setakat ini pengajiannya juga berjalan dengan lancar.

"Setiap semester, saya dapat 'straight A' kecuali semester lalu sebab jatuh sakit ketika peperiksaan dan nak hantar tugasan.

"Saya ada baki tiga semester lagi termasuk latihan industri di hospital pada tahun depan. Selepas itu, saya merancang untuk terus sambung ke peringkat masters (sarjana)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 11:40 AM