Ras Adiba Radzi bersama suami
Ras Adiba Radzi bersama suami
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Bekas personaliti TV, Datuk Ras Adiba Radzi, 54, berkahwin semula dengan bekas suaminya Mohamed Azam Ali dalam majlis pernikahan ringkas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), semalam.

Ras Adiba berkata tiada lain jodoh mereka masih kuat meskipun pernah bercerai sebelum ini.

Baginya, perkahwinan umpama satu persahabatan dan perlu saling toleransi.

"Kami kenal sangat satu sama lain. Banyak persamaan sungguh pun berbeza dari beberapa sudut.

"Tidak ada orang yang sempurna justeru kami sependapat untuk menghormati kekurangan dan saling bertoleransi.

"Perkahwinan seperti persahabatan, mesti beri ruang untuk satu sama lain menjadi diri masing-masing," katanya.

Menurutnya lagi, dia perlu menghargai setiap saat yang dilalui sekarang ini dan harus bijak sesuaikan diri dengan pasangan dalam sesebuah perkahwinan.

"Kita tidak boleh mengubah sifat seseorang, kita sesuaikan diri dengan pasangan, sambil pastikan kita tidak hilang keunikan diri kita sendiri," katanya.

Pasangan itu sudah berkenalan sejak 1986 sewaktu Ras Adiba masih bertugas di stesen TV3. Mereka kemudian berkahwin pada 16 Mac 2019 di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Ras Adiba memilih untuk merahsiakan mengenai perceraian mereka sebelum ini kerana menganggap ia perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum.

Dia juga pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua orang cahaya mata manakala Mohamed Azam juga dikurniakan enam anak hasil daripada perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 1:59 PM