Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ahli Dewan Negara yang mewakili OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis berhubung dua video di media sosial yang menghina dan mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU).

Ras Adiba hadir pada 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini, dan mahu tindakan diambil terhadap golongan yang menghina OKU itu.

Beliau berkata, meskipun sudah menerima dua permohonan maaf dan memaafkan kedua-dua individu terbabit, namun laporan polis perlu dibuat.

"Saya perlu jelaskan laporan polis ini dibuat supaya kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempersendakan golongan OKU seperti kami ini tidak mempunyai harga diri.

"Kami adalah sebahagian daripada keluarga Malaysia jadi kami mempunyai hak menyuarakan apa yang kami rasai ketika ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ras Adiba turut menasihatkan pempengaruh media sosial untuk tidak menjadikan golongan OKU sebagai bahan untuk dipersendakan bagi menarik penonton di media sosial mereka.

RAS Adiba menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap dua pemilik akaun media sosial. FOTO NSTP
RAS Adiba menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap dua pemilik akaun media sosial. FOTO NSTP

Katanya, pempengaruh media sosial sepatutnya mencari kandungan yang bermanfaat dan lebih bersifat kemasyarakatan di media sosial, bukannya bahan yang mempersendakan golongan tertentu.

"Ada banyak cara untuk mereka mencari bahan dan dijadikan content (kandungan) di media sosial, boleh juga buat cerita mengenai kemasyarakatan.

"Jangan buat cerita yang boleh mengguris hati orang lain kerana jika satu hari kamu jadi begitu (OKU) mungkin kamu tahu bagaimana perasaan kami selama ini, buat bahan senang bercakap-cakap tetapi perlu guna otak," katanya.

Semalam tular video menunjukkan aksi seorang daripada mereka berlakon sebagai OKU dengan berjalan dalam keadaan tidak sempurna di parkir pusat beli-belah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:20 PM