BERNAMA

Kuala Lumpur: Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu, dan menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Katanya, pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya yakin Ras Adiba akan menerajui agensi itu ke tahap yang lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.

"Sebagai 'orang lama' dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal semasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini, menggantikan Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos lalu.

Wanita kelahiran Petaling Jaya itu adalah atlet para negara selain mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya (OKU).

RAS Adiba Radzi. FOTO Ihsan FB Ras Adiba.
RAS Adiba Radzi. FOTO Ihsan FB Ras Adiba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:37 PM