Ras Adiba tetap akan mencari Zalina walaupun sudah dua tahun kehilangannya. - Foto IG Ras Adiba Radzi
Ras Adiba tetap akan mencari Zalina walaupun sudah dua tahun kehilangannya. - Foto IG Ras Adiba Radzi
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Bekas personaliti, Datuk Ras Adiba Radzi enggan mengalah biarpun penemuan rakan baiknya, Zalina Azman menemui jalan buntu.

Ras Adiba berkata, walaupun kehilangan pengacara program Money Matters itu sudah berlanjutan lebih dua tahun, tetapi dirinya masih tidak berputus asa untuk menjejaki rakan baiknya itu.

"Saya masih mencari sahabat saya walaupun sudah lebih dua tahun kehilangannya.

"Saya selalu berhubung dengan polis, malah turut bertanya di bilik mayat, hospital atau mana-mana sahaja," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Pendidikan Untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, hari ini.

Ras Adiba berkata, dia masih mengharap Zalina menghubungi menerusi mesej langsung (DM) dalam media sosial jika terbaca apa sahaja kenyataan dan status yang dimuat naik.

"Saya berharap sekiranya Zalina masih ada, hubungilah saya. Boleh mesej langsung atau sesiapa sahaja yang dapat mencarinya, beritahu saya.

"Orang kata mungkin saya mencari orang yang tak mahu dijumpai, tapi saya tidak merasakan begitu.

"Mungkin Zalina sesat di mana-mana dan perlukan bantuan," katanya.

Ditanya adakah ada menemui sebarang petanda atau berhubung dengan ahli keluarga Zalina, Ras Adiba berkata, setakat ini, tiada sebarang petanda ditemui.

"Sesekali saya ada berkomunikasi dengan ahli keluarganya dan kami akan terus berusaha di mana-mana.

"Seorang sahabat tidak akan meninggalkan seorang lagi sahabatnya," kata Ras Adiba.

Zalina dilaporkan hilang selepas anaknya, Mikhael Norman gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Kali terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita itu dikesan aktif pada 20 November 2021, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada ibunya.

Sejak itu, Ras Adiba tidak putus mencari termasuk menjalankan misi pencarian sekitar Shah Alam bersama suami dan teman rapatnya pada Julai 2022.

Mereka meronda sekitar kediaman Zalina di Jalan Ketiau, Seksyen 3, Bulatan Kayangan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi mencari petunjuk di mana sahabatnya menghilangkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 5:50 PM