Will Smith tampil dalam filem Emancipation
Will Smith tampil dalam filem Emancipation
Agensi

Los Angeles: Filem Emancipation lakonan Will Smith, 54, tidak akan ditayangkan tahun ini keberangkalian susulan kontroversinya menampar Chris Rock di Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, Mac lalu.

Filem terbitan Apple dan syarikat produksi miliknya, Westbrook Studios yang sepatutnya ditayangkan pada festival musim luruh, akhir tahun ini, ditangguhkan hingga 2023.

Filem arahan Antoine Fuqua itu diramal berpotensi untuk membawa pulang anugerah utama Oscar akan datang.

Bahkan, beberapa minggu sebelum menjelang Oscar tahun ini, Emancipation sudah menjadi buah mulut.

Seorang pembikin filem yang identitinya dirahsiakan turut mengakui kehebatan filem terbabit selepas menonton rakaman awalnya.

Meskipun insiden Smith menampar Rock itu punca tayangan Emancipation ditangguh, wujud khabar angin Fuqua masih bekerja dan memantau proses pasca produksi serta mungkin belum bersedia menayangkan tahun ini.

Ia kerana proses produksinya tertangguh selepas pemindahan operasi syarikat produksi dari Georgia ke Louisiana dan kemusnahan disebabkan Taufan Ida.

Tidak ketinggalan, kru dan kakitangan studio direhatkan akibat penularan kes Covid-19, Ogos tahun lalu. Manakala, Apple turut mengalami jadual ketat tayangan sehingga Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 4:06 PM