Filem terbitan Marvel berjudul Shang-Chi.
Filem terbitan Marvel berjudul Shang-Chi.
Georgie Joseph


INDUSTRI perfileman Hollywood turut terjejas berikutan penularan wabak Covid-19 hingga banyak penggambaran terpaksa dihentikan selain jadual penayangan filem ditunda.

Filem terbitan Marvel berjudul Shang-Chi antara yang dihentikan selepas pengarahnya Destin Daniel Cretton menjalani kuarantin selepas dinasihati doktor berbuat demikian.

Filem dibintangi Simu Lu, Awkwafina and Tony Leung itu memulakan penggambaran di Fox Studio Sydney, Australia sejak bulan lalu dan akan ditayangkan Februari tahun depan.

Tayangan filem Mulan yang sepatutnya pada hujung bulan ini pula turut ditarik daripada jadual oleh Disney bersama-sama Antlers dan Mutants.

Tarikh baru tayangannya masih belum diumumkan.

Pengarahnya Niki Caro berkata, mereka turut berdukacita dengan situasi yang melanda seluruh dunia sekarang ini dan berharap filem itu bakal menjadi pembakar semangat ramai.

“Memandangkan perubahan mendadak situasi yang kita semua hadapi, malangnya kami terpaksa menunda penayangan Mulan di seluruh dunia buat masa ini.

“Hati kami bersama dengan semua yang terkesan virus itu di seluruh dunia. Kami harap semangat juang Mulan akan terus memberi inspirasi kepada semua yang bekerja keras menyelamatkan kita semua,” katanya.

Universal turut menyusul dengan pengumuman untuk menunda tayangan Fast & Furious 9 yang sepatutnya pada awal 21 Mei ini ditunda hampir setahun iaitu pada April tahun depan.

Filem dinantikan ramai A Quiet Place 2 juga menerima nasib sama. Walaupun promosinya sudah berjalan dan akan ditayangkan pada 19 Mac ini, pengarahnya Krasinski terpaksa akur kerana sekarang bukan waktu terbaik untuk meneruskan tayangan.

“Sekarang jelas bukan waktu tepat untuk menayangkannya. Sebagaimana kami pun sangat teruja seperti penonton untuk menonton filem ini, saya akur dan tunggu masa terbaik untuk kita sama-sama menontonnya,” katanya.

Turut berbuat demikian adalah Paramount yang menarik tayangan Blue Story dan Lovebirds. Demikian juga Sony turut menunda tayangan Peter Rabbit 2 ke September.

MGM dan Universal adalah syarikat pertama yang memutuskan berbuat demikian pada minggu lalu. Filem sekuel James Bond iaitu No Time To Die yang sepatutnya ditayangkan awal bulan depan ditunda ke November ini.

Sementara itu, beberapa produksi filem dan TV popular termasuklah Mission Impossible, The Amazing Race, Morning Wars, Riverdale, The Falcon,Winter Soldier dan Carnival Row juga sudah dihentikan.

Semalam, pelakon Tom Hanks dan isterinya, Rita Wilson disahkan positif Covid-19.

Hanks, 63, berkata, beliau dan isterinya demam ketika berada di Australia menjalani penggambaran filem kisah hidup Elvis Presley.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:24 PM