MOHD Shukor  menyatakan perniagaan membekalkan barang-barang pertanian diusahakannya ‘punah' disebabkan semua wang diperoleh digunakan untuk membeli dadah.
MOHD Shukor menyatakan perniagaan membekalkan barang-barang pertanian diusahakannya ‘punah' disebabkan semua wang diperoleh digunakan untuk membeli dadah.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Selangor: "Saya nak rasa clean betul-betul, baru mula berniaga balik. Kalau masih ada lagi, memang jadi 'kudis' kepada perniagaan."

Begitu kata Mohd Shukor Salleh, 42, dari Tanjung Karang, di sini, yang bergelumang dengan najis dadah selama lebih 20 tahun sehingga menyebabkan perniagaan pertaniannya hancur.

Mohd Shukor berkata, dia terjebak dengan dadah jenis heroin pada 2001 atas faktor 'suka-suka' bersama dengan rakannya yang lain.

"Mula-mula saja nak try, tapi lama-lama bergantung padanya, setiap hari nak (hisap dadah).

"Saya bermula dengan heroin. Selepas itu, pada 2010 saya menggunakan syabu. Saya gian kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, perniagaan membekalkan barang-barang pertanian yang diusahakan juga 'punah' disebabkan semua wang yang diperolehi digunakan untuk membeli dadah.

"Perniagaan saya habis. Saya tak boleh nak buat pusingan modal disebabkan duit itu semua beli dadah," katanya.

Katanya, keluarganya juga tidak dapat menerimanya apabila mendapat tahu dirinya terbabit dalam kegiatan penagihan dadah.

"Saya pernah juga dihalau dari rumah. Tetapi selepas dua, tiga bulan, mak saya suruh balik. Mak yang memainkan peranan, tapi adik-beradik yang lain pada masa itu tidak boleh terima," kata anak ketiga daripada sembilan beradik.

Dia yang kini bertani, berkata niatnya untuk berubah dengan tidak lagi menagih dadah bertitik-tolak daripada abangnya yang juga terbabit dalam kegiatan itu kerana mahu mengubah gaya hidup.

"Dia (abang) salah satu sebab saya nak berhenti kerana dia nak berhenti terlebih dulu.

"Sebab lain adalah atas faktor kesihatan yang semakin merosot. Saya ada kencing manis, darah tinggi, hati dan sekarang ini ada masalah usus," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana keluarga banyak memberi sokongan agar dirinya berubah selepas keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

"Mereka banyak memberikan sokongan, selalu ajak saya keluar. Mereka tak nak saya bersendirian," katanya.

Sementara itu, bekas tukang rumah Zazali Jafar, 42, berkata dia terbabit dengan dadah jenis syabu pada 2010 disebabkan pergaulan bebas bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, sekiranya tidak mendapat dadah, dia tidak dapat untuk melakukan sebarang jenis kerja.

"Hari-hari nak buat kerja kena ambil benda (dadah) itu. Kalau kita ambil benda itu, badan kita akan cergas dan tahan lama.

"Jika tak dapat pula, nak buat sebarang kerja pun malas," katanya yang juga anak kedua daripada lapan beradik.

Katanya, dia mahu berubah dan tidak mahu terbabit dalam penagihan najis dadah kerana serik selepas dihantar ke Penjara Kajang pada tahun lalu.

"Saya tak pernah masuk penjara. Itu kali pertama saya masuk dan nak bertaubat. Saya tak nak ambil benda itu lagi.

"Semasa di situ (Penjara Kajang), saya juga fikirkan mak saya. Itulah kekuatan saya nak berubah," katanya.

Ibu kepada Zazali, Salmah Dahalan, 64, berpandangan apa yang menimpa anaknya berkemungkinan disebabkan Allah mahu mengujinya.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat pada anaknya untuk berubah.

"Saya sering memberikan kata-kata semangat padanya semasa kami nak makan. Selain itu, adik-beradik dia juga banyak memberikan sokongan dan mahukan abangnya berubah. Alhamdulillah, banyak juga perubahan yang dapat kami lihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:01 AM