PUTRA Amaris ketika pelancaran  Program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan anjuran Putra Amaris dan Dapur Pasak. FOTO Asyraf Hamzah
PUTRA Amaris ketika pelancaran Program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan anjuran Putra Amaris dan Dapur Pasak. FOTO Asyraf Hamzah
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Putra Amaris bakal membina sebuah rumah bagi golongan asnaf sempena sambutan Ramadan ini menerusi Program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan.

Putra Amaris, 37, atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata, anggaran keseluruhan kos pembinaan rumah itu RM80,000 hingga RM100,000.

"Program ini dijalankan bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur dan memilih sebuah keluarga asnaf yang sudah berada dalam senarai kami. Saya sudah lama menyimpan niat nak buat rumah untuk golongan asnaf atau yang sangat memerlukan. Tapi kalau nak buat sendiri, memang tak mampu. Kebetulan rakan saya turut mempunyai hasrat sama.

"Alhamdulillah, tercetus idea nak buat satu rumah untuk golongan asnaf pada bulan Ramadan. Pembinaan sebuah rumah ini dianggarkan RM80,000 hingga RM100,000. Insya-Allah projek rumah ini akan bermula pada 1 Ramadan selama lebih kurang 26 hingga 30 hari. Jadi, pada 1 Syawal keluarga itu boleh menyambut hari raya di rumah baharu.

"Buat masa ini kami sudah ada data golongan ini. Kami akan pilih satu keluarga yang betul-betul memerlukan rumah. Pemilihan lokasi sekitar Lembah Klang," katanya ketika ditemui pada sidang media Qaseh Infaq Ramadan #Samasamakenyang, semalam.

Menurut Amaris, menerusi program sama mereka juga mewujudkan program baharu iaitu Penuhkan Peti Ais dengan menyasarkan lebih 1,000 rumah di sekitar Lembah Klang.

"Anggaran untuk kos barangan keperluan basah dan kering sekitar RM200 sehingga RM500. Alhamdulillah, tahun ini saya menerima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk memberikan sumbangan. Tapi kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak, jutawan atau dermawan yang nak salurkan sumbangan terutama dari segi kewangan atau barangan keperluan.

"Kami sendiri yang akan pergi terus ke rumah asnaf dan orang susah. Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan 'ready to cook' dan banyak lagi. Selain itu, barangan keperluan asas juga kami akan beri sekali seperti beras, telur dan sebagainya. Inilah barang keperluan yang sentiasa ada sebagai bekalan di bulan Ramadan ini.

"Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka sepanjang Ramadan ini dan juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan seharian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:20 PM