SUMBANGAN daripada pihak Chef Tako.
SUMBANGAN daripada pihak Chef Tako.
Sudirman Mohd Tahir

Pejabat dan kios jualan Amaris My Tart dipecah masuk, operasi perniagaan terganggu, pekerja berhenti dan pelbagai lagi antara ujian dihadapi pelakon, Putra Amaris dalam melaksanakan program Infaq Ramadan bermula 10 hingga 20 April ini.

Putra Amaris, 36, atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata, dia menganggap setiap cabaran itu adalah ujian yang akan digantikan dengan sebuah kemanisan oleh Allah SWT.

"Nak buat perkara baik memang akan ada saja ujian. Macam saya buat Infaq Ramadan ini, pekerja berhenti dua hari sebelum program berlangsung. Itu belum lagi pejabat dan kios jualan Amaris My Tart dipecah masuk. Malah, kami punya operasi jualan dalam masa dua bulan ini terganggu untuk ejen, pasukan dan stok.

"Ujian yang datang ini pada saya Allah nak beri lebih baik selepas ini. Saya juga anggap setiap ujian adalah satu kemanisan. Jadi, kalau nak cakap mengenai ujian ada banyak. Saya yakin ini semua ujian Allah.

"Disebabkan itu, dalam melaksanakan program ini, saya yakin Allah bantu. Insya-Allah, perkara baik Allah mudahkan urusan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amaris, program itu menyasarkan 500 keluarga asnaf, rumah anak-anak yatim dan rumah anak-anak tahfiz sepanjang 11 hari program dijalankan dalam bulan Ramadan ini.

"Selain itu, kami juga pergi ke rumah penjagaan orang tua membabitkan kelainan upaya (OKU) dan gelandangan. Tapi fokus utama sepanjang Ramadan ini adalah golongan asnaf di mana kami akan pergi dari rumah ke rumah. Sasaran kami di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang, Shah Alam dan Klang.

"Alhamdulillah, setakat ini sumbangan untuk 500 rumah itu sudah cukup dari segi wang ringgit, makanan dan barang keperluan harian. Cuma perlukan lebih lagi untuk teruskan bantuan. Kalau ada lebih lagi, lagi bagus dan boleh berikan lebih lagi.

"Sebenarnya kita pun tak tahu apa mereka perlukan. Apabila sampai ke tempat mereka, ada barang yang penting diperlukan. Jadi, itu antara barang tambahan yang perlu diberikan. Lebih banyak yang menyumbang dan menginfaq, lebih banyak penerima manfaat terima," katanya.

Bagi Naib Presiden, Operasi, Penjualan & Latihan Penyet Penyet.com Nurul Fakri Arshaf berkata, pihaknya berlapang dada dan terbuka bekerjasama dalam program Infaq Ramadan Putra Amaris kerana ingin berkongsi rezeki.

"Kami sudah buat infaq ini sejak beberapa bulan lalu. Alasannya sebab nak berkongsi rezeki dengan semua orang. Sebelum ini kami memberi fokus kepada badan kebajikan, jadi bulan Ramadan ini nak menyasarkan untuk mencapai 1,500 pek makanan sehari untuk diedarkan selama 26 hari termasuk dalam program ini.

"Jadi, kita mengharapkan pengedaran yang dibuat dalam program ini mampu berkongsi rezeki. Kita harapkan bahawa, sumbangan yang dapat daripada orang ramai, syarikat swasta dan orang perseorangan akan disalurkan dengan cara edarkan makanan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pengasas bersama Chef Tako, Muhammad Misyael Abd Rama berkata, pembabitan mereka pada program itu adalah saham akhirat bersama hampir 700 usahawan mereka.

"Terima kasih kepada Putra Amaris kerana jemput kami dalam program Infaq Ramadan ini. Pembabitan kami lebih kepada nak bantu memperbanyakkan lagi sumbangan. Kami adalah syarikat usahawan dan membimbing usahawan lain, jadi kami ingin menjadi penyalur kepada mereka.

PUTRA Amaris bersama penghuni Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang.
PUTRA Amaris bersama penghuni Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang.

"Hasil jualan mereka kami akan ambil sedikit untuk disumbangkan dalam program ini. Pendek kata ia menjadi saham akhirat untuk dikongsi. Hampir 700 usahawan kami terbabit dalam program ini di semua lokasi. Bukan saja makanan, tapi juga wang ringgit dan barang keperluan," katanya.

Bagi yang ingin membuat infaq sepanjang Ramadan ini boleh salurkan sumbangan anda ke akaun SAMA SAMA KENYANG (562405646664 - Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:31 AM