SITI Nordiana mohon doa persembahannya berjalan lancar.
SITI Nordiana mohon doa persembahannya berjalan lancar.
Syafil Syazwan Jefri

Kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) semakin dirasakan bukan saja oleh mereka yang berada di belakang lagu yang bertanding, tetapi juga peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan anugerah berprestij ini.

Bakal menggegarkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam esok, AJL36 membariskan 12 lagu hebat yang bakal bertanding.

Ia adalah Mimpi nyanyian Haqiem Rusli, Sepi (Aina Abdul), Nafas Cinta (Khai Bahar & Aina Abdul), Boneka (Ernie Zakri), Purnama (Naim Daniel), Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah), Intan Payung (Noraniza Idris & Bunga), Salahku (Yonnyboii), AEWO (Shiha Zikir ft Noki), Lara (Hael Husaini, Naim Daniel & Haqiem Rusli), Angkara (Siti Nordiana) dan Cinta (Marsha Milan).

Berdasarkan senarai lagu yang bertanding, kita dapat melihat kepelbagaian yang ada dari sudut genre dan kreativiti.

Lagu berentak balada masih menguasai senarai seperti Mimpi, Sepi, Nafas Cinta dan Angkara.

Namun, ia tidak bererti lagu dari genre lain tidak cukup kuat untuk bersaing hebat memandangkan setiap karya ada kekuatannya yang tersendiri.

Jika kita melihat dari sudut lagu yang karyanya boleh digelar sebagai eksperimentasi, ada juga beberapa lagu berkonsep sebegini yang mencuri tumpuan.

Antaranya, Intan Payung, Pelukan Asmara dan AEWO yang menyajikan muzik yang berkualiti tinggi dan penuh kreativiti.

AINA muncul kali ketiga dalam AJL.
AINA muncul kali ketiga dalam AJL.

Berdasarkan pungutan suara yang Harian Metro lakukan di Instagram rasmi @myhmrap, netizen turut serta meramalkan lagu yang berkemungkinan besar bergelar Juara Lagu.

Antara lagu yang kerap disebut oleh netizen adalah Sepi, Nafas Cinta, Angkara, Pelukan Angkasa dan AEWO.

Bagi Aina Abdul, apabila lagu dendangannya disebut-sebut sebagai lagu yang ada potensi untuk menjadi juara, dia menganggap itu sebagai doa.

"Alhamdulillah, saya aminkan doa-doa itu. Saya percaya Allah maha mendengar. Ini kali ketiga saya muncul di pentas AJL dan tentunya salah satu impian saya adalah untuk melakukan yang terbaik dan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setiap kali tampil membuat persembahan, saya belajar untuk memperbaiki kesilapan," katanya.

Dalam pada itu, Siti Nordiana yang bakal mempersembahkan lagu Angkara berkata, dia juga mengucapkan terima kasih atas doa dan harapan daripada peminat.

"Alhamdulillah dan terima kasih atas dia kalian semua. Bagi saya, semua lagu berpotensi. Apa pun, kita kena lihat pada hari kejadian nanti.

"Apa yang lebih penting, saya berharap semua mendoakan supaya perjalanan untuk AJL36 nanti berjalan lancar," katanya.

Yang pasti, AJL36 tentunya akan menjanjikan satu persembahan penuh gemilang dan semoga lagu yang dinobatkan sebagai juara adalah satu karya yang sesuai dengan kemenangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 6:30 AM