Juara AJL36, Sheila Hamzah dan SOG pada malam malam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Juara AJL36, Sheila Hamzah dan SOG pada malam malam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Lagu Pelukan Angkasa nyanyian kumpulan SOG dan Shila Amzah diumumkan sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Atas kemenangan itu, lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamudin itu berjaya membawa pulang hadiah utama RM100,000 berserta trofi. 

Tempat kedua pula dimenangi lagu Cinta nyanyian Marsha Milan dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi manakala tempat ketiga, diraih lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli, dengan hadiah RM30,000 berserta trofi. 

Anugerah Vokal Terbaik pula dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Sepi ciptaan sepenuhnya Aina dan berjaya membawa pulang RM12,000 berserta trofi. 

Kategori Persembahan Terbaik dimenangi lagu Cinta nyanyian Marsha Milan ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim sekali gus berjaya meraih RM18,000 tajaan bersama NOIR Beauty Essence..Cantik dengan NOIR berserta trofi. 

Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL36 dimenangi oleh Aina Abdul dan Khai Bahar menerusi lagu Nafas Cinta dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi. 

AJL36 diacarakan oleh gandingan pengacara Alif Satar dan Nabila Huda manakala Karpet Merah AJL36 dihoskan Sissy Imann dan Sean Lee serta bersiaran di TV9 dan Youtube TV3 Malaysia. 

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat, kumpulan Cassia, dan Wings di samping dendangan muzik di bawah pengarah muzik Datuk Ramli MS. 

Selain itu, penonton turut menyaksikan persembahan penyanyi Dayang Nurfaizah yang mempersembahkan lagu tema Noir. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 12:27 AM