Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Naim Daniel, Aina Abdul dan Haqiem Rusli masing-masing mempertaruhkan dua lagu dalam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) nanti.

Saingan Separuh Akhir Muzik Muzik 36 yang berlangsung kelmarin dan malam tadi menyaksikan Naim Daniel layak ke AJL36 dengan lagu Purnama dan Lara nyanyiannya bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli.

Selain Lara, Haqiem layak dengan lagu Mimpi, manakala Aina bakal tampil dengan lagu Sepi dan Nafas Cinta nyanyiannya bersama Khai Bahar.

Tujuh lagi lagu yang turut layak ke AJL36 ialah Boneka (Ernie Zakri), Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah), Intan Payung (Noraniza Idris & Bunga), Salahku (Yonnyboii), AEWO (Shiha Zikir), Angkara (Siti Nordiana) dan Cinta (Marsha Milan).

Ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail berkata, pemilihan lagu-lagu itu adalah berdasarkan kualiti dan bukan populariti semata-mata.

Paling penting adalah lagu itu berkualiti dan ada impak dalam industri muzik Malaysia. Kita melihat juga ada lagu yang banyak tontonan dan popular, namun tak berkualiti.

"Ada lagu yang popular disebabkan ia adalah lagu OST (runut bunyi) dan sebagainya. Kita tak mahu lihat kepada berapa banyak tontonan," katanya.

Separuh Akhir Muzik Muzik 36 diacarakan Alif Satar dan Sissy Imann. Selain Mokhzani selaku ketua juri, ia turut membariskan juri profesional seperti Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Helen Yap, LY, Chaan dan Altimet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:57 AM