UCHOP harap peminat hadir beri sokongan pada Konsert Siapa Uchop Ahmad!
UCHOP harap peminat hadir beri sokongan pada Konsert Siapa Uchop Ahmad!
Ridzuan Abdul Rahman

Bermula bersama band indie AVDT dan akhirnya bergerak sebagai penyanyi solo dalam arus muzik utama selepas menjuarai program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua pada 2012.

Bagaimanapun, itu tidak cukup untuk membuatkan peminat mengenali Uchop Ahmad, 38. Malah beberapa single yang dihasilkan juga gagal menambat hati mereka untuk menerima kehadirannya dalam bidang seni.

Tersentuh dengan perkara ini, Uchop atau nama sebenarnya Mohmad Yusof Ahmad akan tampil dengan persembahan khas yang dinamakan Konsert Siapa Uchop Ahmad!

Selain Uchop, konsert yang berlangsung di Warisan Hall, Sijangkang pada 13 Mac depan, jam 2 petang itu turut menampilkan kumpulan O-Two, Lan Solo, Nas Adila, Asheed Def Gab C, Lola XPDC serta penampilan khas AVDT.

"Idea untuk buat konsert ini dicetuskan pemilik Warisan Studio iaitu Wak Khair yang sentiasa melihat perkembangan karier seni saya.

"Dia berikan 'venue' ini untuk beri peluang kepada saya buat kemunculan semula untuk perjalanan karier saya yang lebih ke depan. Tak dinafikan mungkin ramai yang tak kenal saya kerana nama saya hanya ibarat suam-suam kuku dalam industri muzik. Jadi, perlu ada satu persembahan begini buat mereka," katanya.

Menurutnya, menerusi konsert ini juga, dia akan bercerita perjalanan kehidupan dan permulaannya dalam industri seni tanah air sehingga kini.

KUMPULAN O-Two.
KUMPULAN O-Two.

"Ia bermula dengan saya menyertai band indie AVDT yang kemudian menyertai Battle of The Bands untuk menimba pengalaman dan mencari peluang dalam nyanyian.

"Tak lupa juga, akan ada segmen menarik lain seperti mengenang kawan baik saya, Allahyarham Eddy Wan Othman atau Eddy Malmsteen. Juga ada sesi jamming bersama Superfriends iaitu mereka yang pernah bantu karier saya seperti Lan Solo, Lola dan Asheed," katanya.

Uchop turut bercerita mengenai idolanya yang menyuntik semangatnya untuk menceburi bidang nyanyian.

"Tiket untuk menonton berharga RM50 bersama pakej makan dan cabutan bertuah. Tak ketinggalan, saya juga melakukan aktiviti amal untuk anak yatim menerusi konsert ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih terhadap kelab yang bekerjasama menjayakan konsert ini antaranya Y16 KL Skuad dan Retro Mania," katanya.

Uchop mengharapkan peminat hadir menyokong konsert ini, sekali gus membuka lembaran baharu terhadap karier nyanyiannya selepas ini.

Maklumat lanjut berkaitan pembelian tiket Konsert Siapa Uchop Ahmad! boleh hubungi hotline tiket di 0182218082.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:43 AM