BUAH tangan terbaharu OTwo bergandingan dengan Asheed Def Gab C tembusi pasaran muzik Indonesia.
BUAH tangan terbaharu OTwo bergandingan dengan Asheed Def Gab C tembusi pasaran muzik Indonesia.
Norhayati Nordin


Nama kumpulan OTwo pastinya tidak asing pada kalangan komuniti peminat muzik tanah air pada era 1990-an. Apatah lagi, pembabitan kumpulan ini di persada industri hiburan sudah melewati dua abad.

Seiring masa berlalu, kumpulan dianggotai tiga pemuda iaitu Anep sebagai ketua kumpulan dan pemain dram, Alan (gitar) serta Izan (penyanyi) ini masih aktif dalam berkarya.

Pernah muncul dengan single dan muzik video berjudul Psiko pada 2020, kini kumpulan OTwo kembali semula dengan buah tangan baharu mereka untuk peminat menerusi lagu Superock Kasanova dengan muzik video menarik.

Ditambah lagi, untuk lagu Superock Kasanova ini, mereka mengambil peluang bergabung dengan vokalis kumpulan Def Gab C, Asheed yang pastinya dulu cukup popular dengan lagu Ibu Kota Cinta.

Apa pun yang pasti kerjasama mantap ini juga dilihat sebagai 'debut' pertama Asheed untuk peminatnya selepas menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) pada tahun lalu.

Wakil kumpulan OTwo, Anep berkata, tanpa publisiti yang melampau, siapa sangka gandingan mereka sudah berjaya membawa lagu Superock Kasanova menembusi pasaran muzik di negara jiran, Indonesia.

SINGLE Superock Kasanova tampil gabungan kumpulan OTwo dan Asheed Def Gab C.
SINGLE Superock Kasanova tampil gabungan kumpulan OTwo dan Asheed Def Gab C.

"Lagu Superock Kasanova ini berjaya menembusi pasaran pendengar dari negara seberang, Indonesia apabila bakal diperdengarkan di lebih 30 stesen radio di sana," katanya.

Selain itu, menariknya lagi sudah tentu muzik video lagu Superock Kasanova yang dihasilkan penerbit Todak Music dan Todak TV dengan penggunaan konsep animasi 2D yang diyakini akan diminati ramai.

Ia memaparkan kisah seorang adiwira gabungan dari empat ahli muzik yang berusaha menentang seekor makhluk penjahat yang cuba merosakkan industri muzik tanah air.

Adiwira itu berjaya menumpaskan makhluk terbabit dengan karya muzik dihasilkan mereka yang akhirnya dapat membuka peluang terus berkarya tanpa sebarang gangguan dalam industri.

Pengarah seni animasi muzik video, Mubin Naza berkata, penghasilan konsep animasi ini amat mencabar kerana ia memerlukan kreativiti dan komitmen tinggi selain perlu dikaitkan dengan jalan cerita muzik ciptaan kumpulan OTwo.

"Namun, ia tidak menjadi halangan buat tenaga kreatif Todak TV kerana kami tetap berjaya menyiapkannya dalam masa satu bulan saja. Apatah lagi, ia di inspirasi daripada komik barat seperti Marvel yang menggunakan 'special effect' dan 'post-credit scene' yang biasanya ditayang di layar perak," katanya.

Difahamkan juga, pihak Todak Music kini dalam perbincangan untuk meluaskan penerbitan animasi Superock Kasanova menerusi siri filem pendek berikutan jangkaan penerimaan baik dan positif daripada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 6:47 AM