ANTARA barisan pemuzik indie yang menyemarakkan acara GIG Rakyat Jelata.
ANTARA barisan pemuzik indie yang menyemarakkan acara GIG Rakyat Jelata.
Georgie Joseph


Memeriahkan lagi industri muzik indie dan underground, acara Gig Rakyat Jelata anjuran CdBagadi Music bakal berlangsung khas buat peminat utara dan selatan Semenanjung.

Lokasi pertama diadakan di Insider Satellite Ipoh, Perak pada 22 Julai ini manakala lokasi kedua di Rooftop City Plaza Johor Bahru, Johor pada 26 Ogos depan.

Acara terbabit bakal menampilkan 11 band tempatan yang semuanya penggiat muzik indie. Yang pasti, namaa bakal membuat persembahan itu bukan calang-calang serta sudah memiliki pengikut kukuh.

Menurut wakil penganjurnya, Amiruddin Karim, idea itu tercetus bagi meyakinkan industri muzik indie juga gah dan tiada beza dengan sokongan diterima pemuzik arus perdana.

"Semua pemuzik ada bakat dan karya mereka yang terbaik. Kenapa tidak kami gabungkan band yang juga pernah berada dalam arus perdana dan jadikan sebuah acara menarik begini.

"Kedua-dua cabang industri ini memiliki keistimewaan tersendiri untuk dipelajari. Macam mana stail indie dan sebaliknya. Lebih baik buat jelajah ini dengan mencampurkan mereka saja," katanya.

Amiruddin juga berkata, asalnya konsert itu dirancang untuk diadakan di empat lokasi. Bagaimanapun, dua lokasi masih dalam perbincangan.

"Harap dapat tambah lagi kalau projek ini membuatkan hasil luar biasa. Kami mahu pastikan ia tidak bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

NITRUS antara yang bakal membuat persembahan dalam Gig Rakyat Jelata.
NITRUS antara yang bakal membuat persembahan dalam Gig Rakyat Jelata.

"Kami pilih tarikh yang kebetulan dalam lingkungan kempen pasal kesedaran sayangi negara serta kemerdekaan. Dengan semangat itu, kami harap penyokong muzik akan datang bakat tempatan kita," katanya.

Wakil band Late Night Frequency, Moja berkata, dia tidak sabar beraksi dan hiburkan pengikut indie pada acara itu. Baginya, jelajah terbabit besar maknanya terutama buat mereka pejuang indie.

"Jelajah ini diharap mampu buka minda dan telinga macam mana paras muzik kita sekarang. Saya rasa barisan penghibur di kedua-dua tempat memang sangat tepat.

"Ini adalah untuk kita membawa kembali era kegemilangan muzik bawah tanah. Insya-Allah kita jumpa di sana," katanya.

Pada acara terbabit, enam band beraksi di setiap lokasi. Dua band tempatan dipilih bagi mewakili rakyat tempat konsert terbabit diadakan.

Acara itu berlangsung pada jam 5 petang dan berakhir sebelum jam 12 malam. Setiap band tampil membuat persembahan selama 40 minit.

Band yang akan membuat persembahan di Ipoh adalah Couple dan Muck selaku band tempatan. Manakala band lain adalah Pretty Ugly, Nitrus, Strike Out dan Late Night Frequency.

Di Johor Bahru pula band terbabit adalah Plague Of Happiness dan Terang Bulan sebagai wakil band tempatan. Selain Zip Zieller, Banyakbunyikrepublik, Sabda Alam dan Pretty Ugly.

Tiket dijual dengan harga RM70 untuk satu lokasi manakala RM120 untuk belian pukal kedua-dua lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 6:49 AM