KONSEP ‘big band’, Sheila mahu peminat belajar hargai pemuzik. FOTO Rohanis Shukri
KONSEP ‘big band’, Sheila mahu peminat belajar hargai pemuzik. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


PENYANYI terkenal, Datuk Sheila Majid antara figura seni tanah yang sentiasa ditunggu-tunggu peminat untuk persembahan nyanyiannya.

Boleh dikatakan, setiap lokasi konsert Sheila sentiasa dipenuhi penonton.

Peluang menyaksikan konsert Sheila di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur pada 2010 lalu membuktikan dia cukup hebat, mantap, menghiburkan dan paling utama, bertenaga.

Bukan sekadar menyanyi semata-mata, Sheila juga cukup ramah berinteraksi dengan peminat-peminatnya.

Aura seorang penghibur berkaliber dan berpengalaman Sheila tidak perlu disangkal.

Apapun, selepas lima tahun 'menyepi' daripada terbabit dengan persembahan konsert berskala besar untuk peminatnya, Sheila yang mendapat jolokan Ratu Jazz ini akan kembali beraksi semula.

Kali terakhir mengadakan Konsert Legenda di Stadium Negara pada 2017, kali ini dia bakal menjayakan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 pada 18 Mac tahun depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Bersuanya pada sidang media baru-baru ini, ibu empat cahaya mata berusia 57 tahun ini nyata tidak mampu menyembunyikan perasaan bersyukur, gembira dan terujanya dengan peluang diterima.

Katanya, dia bersemangat untuk muncul mengadakan konsert itu disebabkan permintaan peminat.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran, Warna, Dia, Legenda dan Antara Anyir dan Jakarta ini, peminat masih bertanya-tanya kepadanya.

"Sebagai penghibur, pada saya selagi ada permintaan daripada peminat untuk buat konsert, itu adalah rezeki yang mana orang hendak lagi menonton saya menyanyi. Jadi, saya amat bersyukur dan ingin membuat yang terbaik.

"Malah, saya juga sudah mula membuat persiapan seperti berlatih, menjaga kesihatan dan kekalkan stamina diri dengan rutin senaman harian. Ia penting kerana saya mahu menampilkan persembahan yang bertenaga.

"Apatah lagi, ini konsert berbayar di mana peminat sanggup membelanjakan wang mereka membeli tiket. Jadi, semestinya saya perlu membuat persembahan yang bersungguh-sungguh dan mereka boleh ingat sampai bawa balik ke rumah," katanya.

Sheila berkata, dia juga amat menghargai sokongan peminat-peminatnya.

 SATU malam, Sheila janjikan persembahan istimewa. FOTO Rohanis Shukri
SATU malam, Sheila janjikan persembahan istimewa. FOTO Rohanis Shukri

Katanya, hampir empat dekad perjalanan karier seninya terus bertahan, sokongan diterima daripada peminat sentiasa padu dan tidak putus-putus.

Tampil hanya satu malam untuk Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 itu, Sheila berharap peminatnya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tiket. Ini kerana ia hanya satu malam yang penuh istimewa dan tiada penyanyi undangan untuk konsert itu.

Sheila berkata, dia mahu menghiburkan peminatnya dengan persembahan secara solo yang dijangka berlangsung selama dua jam setengah.

Dibawakan JioBuddy sebagai penganjur utama, tiket konsert mula dijual hari ini.

Guna khidmat 100 peratus pemuzik tempatan

Bakal bekerjasama dengan 23 pemuzik berpengalaman dalam konsertnya, Sheila berkata, mereka semua adalah pemuzik tempatan merangkumi 13 pemain alat muzik tiupan, tujuh pemuzik dan tiga penyanyi latar.

Dipimpin pengarah muzik, Mac Chew, konsert itu dinamakan Big Bandvkerana mengetengahkan konsep dan stail muzik yang dipentaskan.

SHEILA teruja nak jayakan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023. FOTO Rohanis Shukri
SHEILA teruja nak jayakan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023. FOTO Rohanis Shukri

"Sebut saja band, ia sudah difikirkan besar dengan disertai sekurang-kurangnya 10 pemuzik.

Namun, konsert saya membabitkan 23 pemuzik dan konsepnya berbeza dengan orkestra yang menggunakan ramai pemain muzik 'string'.

"Begitu juga, lagu-lagu yang akan saya nyanyi nanti sudah disesuaikan dengan konsep 'big band' ini. Sebenarnya, ini kali pertama juga saya cuba gunakan konsep big band untuk konsert," katanya.

Sheila berkata, konsep dipilih itu juga untuk menghargai pemuzik sebagai tunjang utama konsert.

"Konsep 'big band' ini sebenarnya suatu pendidikan buat pendengar yang mana pemuzik adalah pekerjaan profesional. Bakat dan kemahiran itu tidak semua orang ada.

"Saya selalu berfikir, sebagai individu bergiat aktif dalam industri muzik, rasanya saya perlu mendidik pendengar. Kita tidak boleh memandang rendah kepada pemuzik kerana untuk melakukan persembahan yang baik, kena ada pasukan," katanya.

Sheila berkata, jadi berikanlah pemuzik yang berada di belakang itu suatu penghargaan kerana mereka layak menerimanya. Tegasnya, pemuzik penting untuk sesebuah persembahan seni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 7:00 AM