Channing Tatum
Channing Tatum
Agensi

Los Angeles: Pelakon Channing Tatum, 41, mengakui dia trauma apabila impian menjayakan watak Gambit tidak kesampaian selepas projek itu ditolak pada Mei 2019 dan tidak jadi diterbitkan.

Tatum berkata, hatinya hancur dengan penolakan itu kerana merasakan watak terbabit sangat besar makna untuk dirinya selain sudah bekerja-keras mengembangkan filem itu.

"Selepas Gambit tidak menjadi, saya sangat trauma. Saya sangat sayang watak itu. Ia memang sangat menyedihkan. Rasanya seperti kehilangan seorang rakan karib kerana saya sudah cukup bersedia untuk melakonkannya," katanya.

Tatum bersama penulis skrip Reid Carolin berusaha mengembangkan idea filem itu selama lebih empat tahun.

Filem khas untuk Gambit sepatutnya diterbitkan sebagai kesinambungan daripada X-Men.

Menurut pelakon terbabit, dia sukakan skripnya selain percaya Gambit cukup berbeza dengan adiwira lain dalam Marvel Comics.

"Dalam keterangan watak, Gambit disifatkan sebagai seorang yang megah. Tapi untuk saya tidak. Dia cuma orang biasa yang sangat menarik. Dia boleh gayakan apa saja penampilan.

"Rata-rata adiwira memakai kostum yang berkonsep 'utilitarian' seperti Batman dengan tali pinggangnya, tapi Gambit memakai apa saja yang kelihatan menarik kerana dia sukakan fesyen," katanya.

Projek itu dimulakan oleh Twentieth Century Fox pada 2016. Namun, selepas Disney bergabung dengan Fox, Gambit menjadi mangsa korban peralihan kuasa korporat itu pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 12:40 PM