TEENAGE Mutant Ninja Turtles: Out of the Shadows lebih banyak penampilan watak jahat bakal ditayangkan Khamis depan.
TEENAGE Mutant Ninja Turtles: Out of the Shadows lebih banyak penampilan watak jahat bakal ditayangkan Khamis depan.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas kejayaan Teenage Mutant Ninja Turtles mencatat kutipan pecah panggung, Paramount dan Nickelodeon sekali lagi mempertaruhkan sekuel filem ini iaitu Teenage Mutant Ninja Turtles: Out of the Shadows yang bakal ditayangkan Khamis depan.

Apa yang menarik dalam sekuel ini, perhatian penonton akan dicuri dengan lebih banyak penampilan watak jahat dalam siri animasinya sebelum ini seperti Bebop & Rocksteady, Dimension X dan Krang.

Ia termasuk watak Casey Jones (lakonan Stephen Amell) yang membantu wira penyu itu seperti Michelangelo (Noel Fisher), Donatello (Jeremy Howard), Leonardo (Pete Ploszek) dan Raphael (Alan Ritchson) menentang penjenayah.

Mereka turut dibantu April O’Neil (lakonan Megan Fox) dan Vern Fenwick (Will Arnett).

Selepas penjahat, Shredder melepaskan diri dari tahanan, dia kembali untuk memusnahkan keamanan dengan menyertai seorang saintis gila, Baxter Stockman bersama dua orang kanannya, Bebop (Gary Anthony Williams) dan Rocksteady (Stephen ‘Sheamus’ Farrelly).

Ketika cuba menggagalkan rancangan penjahat ini, mereka terpaksa pula berdepan dengan satu lagi kuasa jahat yang lebih kejam iaitu Krang (lakonan Brad Garret) dan punya niat yang sama untuk menakluk dunia.

Megan Fox dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, dia yakin ia sekuel terbaik kerana pengarahnya, Dave Green adalah peminat tegar watak adiwira itu.

“Pengarahnya sendiri adalah peminat siri animasi Teenage Mutant Ninja Turtles dulu. Ia adalah salah satu rahsia kenapa filem ini menjadi sangat bagus dan lucu,” katanya.

Teenage Mutant Ninja Turtles bermula dengan komik hasil karya Kevin Eastman dan diterbitkan Mirage Studios pada 1984. Nama watak empat ninja penyu itu diambil sempena nama pelukis Itali di zaman Renaissance.

Komik yang dihasilkan untuk satu isu itu seterusnya menerima sambutan yang tidak diduga dan diterbitkan dalam bentuk komik bersiri.

Tidak hanya terhenti dalam bentuk komik, siri adiwira itu dihasilkan pula dalam bentuk patung permainan pada 1986.

Kegemilangan Teenage Mutant Ninja Turtles diteruskan lagi siri animasi popular pada 1987. Beberapa tahun kemudian, pelbagai bentuk cenderahati dan permainan kanak-kanak dihasilkan di bawah jenama itu dan menjadi salah satu ikon popular kanak-kanak ketika itu.

Siri animasinya bertahan selama 10 musim dan berakhir pada 1996, namun karya Teenage Mutant Ninja Turtles dalam bentuk komik diteruskan dan jalan ceritanya menampakkan kematangan sehinggalah terhasilnya filem animasi Teenage Mutant Ninja Turtles pertama pada 1990.

Filem itu mendapat sambutan menggalakkan dan diteruskan sehingga sekuel kedua. Ia kemudian menarik minat Saban Entertainment untuk bekerjasama bagi menghasilkan siri aksi yang dikenali sebagai Ninja Turtles: The Next Mutation.

Dalam siri itu, turut diperkenalkan ninja penyu kelima iaitu Venus de Milo yang juga penyu betina. Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan dan ditamatkan hanya selepas satu musim.

Siri animasi diwujudkan semula pada 2003 dan masih mengekalkan judul Teenage Mutant Ninja Turtles.

Jalan ceritanya tidak banyak berbeza berbanding karya asal tetapi dikurangkan tahap kekejamannya untuk disesuaikan dengan kanak-kanak.

Selepas tujuh musim dan lengkap 156 episod, siri animasi itu tamat pada Februari 2009 dan tidak lama selepas itu, Nickelodeon mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pembelian hakcipta untuk semua jenama Teenage Mutant Ninja Turtles daripada Mirage.

Rata-rata peminat filem dan legasi Teenage Mutant Ninja Turtles yakin sekuel ini bakal menjadi bualan dan mencatat kutipan pecah panggung sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:00 AM