YANA menerima plak pencapaian Anugerah Emas selepas berjaya meraih keuntungan lebih 250,000 daripada karyanya di Universal Music Malaysia.
YANA menerima plak pencapaian Anugerah Emas selepas berjaya meraih keuntungan lebih 250,000 daripada karyanya di Universal Music Malaysia.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi YANA, 21, tidak kisah jika lagu terbarunya Your Loss dianggap berkisar mengenai kisah percintaannya yang kecundang bersama bekas kekasih yang juga penyanyi, Ismail Izzani.

YANA berkata, tanggapan itu tidak boleh dielakkan kerana dia memang menulis lagu itu daripada kesedihan mendalam yang dialaminya tidak lama dulu.

"Kalau tanya pada 2 Oktober lalu, mungkin jawapan saya berbeza. Tapi sekarang saya cuma nak jelaskan lagu ini ditujukan kepada sesiapa saja yang boleh kaitkan lagu itu kepada kisah mereka.

"Saya tak nafikan memang saya membayangkan seseorang dan kisah cinta saya. Tapi, saya tidak semestinya menujukan lagu itu secara spesifik kepadanya dan menulisnya secara umum," katanya.

Menjelaskan mengenai berita perpisahan cintanya dengan Ismail, YANA berkata, ia terjadi disebabkan mereka sudah tidak sehaluan.

Bagaimanapun, dia tidak pernah bermusuh dengan Ismail.

"Saya jenis tidak suka bermusuh dan memaafkan. Saya akui antara punca perpisahan kami adalah mengenai pengkhianatan.

"Memang hubungan kami sekarang bukan semesra dulu lagi, tapi saya okay saja dan tiada masalah pun dengan dia," katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan lagu baharunya Your Loss, hari ini.

Lagu itu secara rasminya sudah dilancarkan pada 26 November lalu.

Penyanyi itu turut menerima plak pencapaian Anugerah Emas selepas berjaya meraih keuntungan lebih 250,000 daripada karyanya di Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:04 PM