ISMAIL Izzani mengakui menyayangi Yana.
ISMAIL Izzani mengakui menyayangi Yana.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Ismail Izzani mengakui menyayangi kekasihnya yang juga penyanyi baru dikenali sebagai Shalma Eliana atau Yana.

Ismail Izzani, 19, atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, keluarga mereka juga sudah saling mengenali.

“Kami memang rapat dan dia pun suka muzik. Malah, ibu bapa kami pun kenal di antara satu sama lain. Saya berkongsi apa yang tahu. Bagi saya ia sesuatu yang bagus.

“Apatah lagi dia masih baru dalam industri muzik dan baru keluarkan single. Jadi, apa salahnya dia datang acara dan tengok suasana macam mana. Sayang memang sayang. Saya sayang dia,” katanya.

Ismail yang popular menerusi lagu Luar Biasa menyifatkan Yana gadis yang ikhlas berkawan dengannya dan bukan untuk sekadar meraih populariti.

“Kalau kata nak dia menggunakan saya, itu perkara pertama saya fikir dulu. Tapi, mengenalinya sejak dari tingkatan dua, dia bukan sebegitu.

“Apabila kami sudah mula berkawan dan kenal betul-betul, dia seorang yang ikhlas. Dia juga ‘sweet girl’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Izzani meletakkan harapan tinggi lagu Bidadari yang dipersembahkan pada minggu pertama peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 dapat layak ke Anugerah Juara Lagu ke-34.

“Ini kali ketiga lagu saya layak ke peringkat separuh akhir. Jadi, untuk kali ini saya meletakkan harapan tinggi pada lagu ini. Ketika menulis lagu ini saya letakkan sepenuh hati sebab ia khas buat mak saya.

“Malah, untuk menyanyikan lagu ini depan mak saya memang lain. Ditambah lagi dengan adanya juri dan penonton. Pendek kata, lagu ini sangat bermakna buat saya.

“Walaupun tidak dipilih menjadi lagu terbaik, saya berharap ia layak ke peringkat AJL 34 nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:46 PM