JAMIE Miller akhirnya mengecap ‘impian Amerika’.
JAMIE Miller akhirnya mengecap ‘impian Amerika’.
Georgie Joseph


MENGIMPIKAN untuk bergelar penyanyi sejak berusia dua tahun, Jamie Miller kini semakin bersinar di Hollywood.

Satu demi satu lagunya meledak dan bakatnya terus menjadi sebutan di seluruh dunia.

Siapa sangka, anak kelahiran Cardiff, Wales, itu akhirnya mengecap 'impian Amerika' diidamkan selama ini.

Berusia 23 tahun, perjalanan ditempuhinya bukan mudah, namun sangat berbaloi.

Dulu Miller hanyalah seorang jejaka pemalu dan takut untuk berkongsi bakat nyanyiannya dengan umum. Hakikatnya, dia tidak melihat peluang besar buat dirinya menjadi penyanyi di kampung halaman.

Menurutnya, bergelar penyanyi tidak dipandang tinggi ketika dia di sekolah menengah.

BERMULA dengan menyertai program The Voice UK, kerjaya nyanyian berubah 360 darjah selepas tembusi pasaran  Hollywood.
BERMULA dengan menyertai program The Voice UK, kerjaya nyanyian berubah 360 darjah selepas tembusi pasaran Hollywood.

Mengimbas kembali zaman persekolahannya, Miller mendedahkan dia terpaksa 'memendam' bakat nyanyiannya.

"Sewaktu di sekolah menengah, menyanyi bukanlah sesuatu yang dipandang tinggi. Lagi-lagi kalau lelaki yang menyanyi, dia akan disifatkan agak keperempuanan. Saya ada masuk koir dan terpaksa menyorok daripada rakan sekelas.

"Rakan lelaki saya rata-ratanya bermain bola sepak atau ragbi. Jadi, saya tidak mahu mereka mendapat tahu saya menyanyi. Saya takut untuk tunjukkan potensi diri kerana saya sendiri tidak suka menjadi perhatian ramai.

"Tapi sampailah ke satu tahap di mana saya sedar saya bukanlah bijak dalam akademik. Selepas tamat persekolahan, saya nekad untuk menurut kata hati untuk menjadi penyanyi demi kepuasan diri," katanya.

Bertitik-tolak dari situ, Miller enggan mengalah untuk mengecap impian berjaya dalam bidang muzik. Pada 2017, dia mencuba nasib menyertai program nyanyian berprestij The Voice United Kingdom (UK).

Keputusannya itu ternyata cukup tepat di mana dia berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan itu.

Kerjaya muziknya pun bermula di UK sebelum akhirnya melangkah lebih jauh menembusi pasaran Hollywood.

Kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), dia ternyata tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan diraihnya itu.

Menurut Miller, kehidupannya berubah 360 darjah sejak menjejakkan kaki di sana.

TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Here’s Your Perfect.
TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Here’s Your Perfect.

"Saya rasa janggal kerana saya tidak memiliki sesiapa di AS, tapi saya rasa sangat bersyukur dengan peluang keemasan yang datang pada saya dan tak patut dilepaskan. Memang ia berlaku dengan begitu pantas sekali.

"Daripada saya menonton TV bersama ibu di kampung halaman, sekarang saya berada di studio rakaman terbaik di Los Angeles. Indah sekali aturan hidup saya. Hari saya berpindah ke LA adalah hari pertama menjejakkan kaki di sini seumur hidup. Akhirnya saya kini menjalani 'impian Amerika' yang diidamkan semua.

"Mula-mula dulu agak sukar juga kerana semua orang di sini sangat sempurna dan berbakat belaka. Bagi saya itu perkara yang sangat asing, tapi ia benar-benar berjaya menyerlahkan sisi terbaik diri saya, ubah hidup, cara pemikiran dan perspektif diri," katanya.

Selain lagu-lagunya semakin mendapat putaran tinggi, tidak dinafikan vokal Miller juga antara kekuatannya. Rata-rata peminat yang mendengar nyanyiannya pasti terpukau dengan vokal hebatnya.

Menurutnya, dia memang sangat mementingkan mutu nyanyian serta vokalnya sejak kecil lagi. Tidak pernah sekali dia rasa diri atau nyanyiannya bagus dan berazam untuk terus pamerkan vokal bermutu.

"Saya tidak pernah ada guru vokal tapi saya belajar lagu gereja sejak kecil dan dari situ saya terus mahu jadi penyanyi. Saya menyanyi sejak berusia dua tahun dan saya tidak pernah rasa ada yang lebih baik untuk diri saya selain nyanyian.

"Dalam temu bual sebelum ini, saya pun sering beritahu bahawa saya mahu jadi penyanyi yang terbaik pernah ada. Saya tidak sekali-kali akan pernah rasa diri bagus dan sentiasa belajar memperbaiki nyanyi setiap hari

"Ada saja masanya di mana apabila saya menyanyikan bahagian nada tinggi, ia kedengaran tidak enak," katanya.

Bukan setakat peminat, kehebatan bakatnya juga jelas berjaya memberi impak dalam kalangan artis bernama besar lain. Miller dipuji penyanyi hebat termasuk Kelly Clarkson, Pink, Sam Smith, Jennifer Hudson dan ramai lagi.

Semestinya dia sangat bersyukur dengan perhatian sebegitu dan menyifatkan ia satu pencapaian yang cukup bermakna. Tiada yang menggembirakannya selain kata-kata positif daripada artis yang menjadi idolanya sejak kecil.

"Membesar sebagai penyanyi dan menarik perhatian artis yang sentiasa menjadi idola semestinya sangat menakjubkan. Sebagai seorang yang membesar di Cardiff, Wales, saya tidak pernah terfikir akan perkara ini. Memang gila!" katanya.

Rancak mempromosikan lagu baharunya iaitu Here's Your Perfect, Miller turut berkongsi kisah di sebalik pembikinan lagu itu.

Menurutnya, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk merakamkan lagu itu.

"Saya tulisnya dua tahun lalu sebagai jurnal terapi, tapi suatu hari tiba-tiba saya rasa mahu rakamnya sebagai lagu. Kita tidak perlu tunjuk kita sentiasa sempurna ataupun tidak berkongsi mengenai kesedihan dalam kisah cinta tidak kesampaian.

"Mulanya saya takut akan kelihatan sisi buruk dan tidak mahu kongsi lagu itu. Liriknya umpama ucapan selamat tinggal terakhir untuk memberitahu saya sedia lepaskan segalanya dan teruskan kehidupan, kerana setiap perkara pasti ada pengakhirannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:40 AM