Penyanyi Haqiem Rusli memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi ABPBH 34 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). FOTO TEAM NSTP
Penyanyi Haqiem Rusli memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi ABPBH 34 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). FOTO TEAM NSTP
Syafil Syazwan Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34), Haqiem Rusli mengumumkan bakal bernikah pada 19 November ini.

Haqiem yang popular menerusi lagu Mimpi itu berkata, majlis pernikahan dan resepsi pada hari yang sama akan berlangsung secara sederhana dengan jumlah tetamu terhad.

"Saya akan berkahwin pada Jumaat, 19 November ini. Saya dan pasangan akan berkahwin pada sebelah petang, manakala majlis resepsi secara kecil-kecilan akan berlangsung pada sebelah malam.

"Saya minta maaf sekiranya ada yang tak dijemput memandangkan jumlah tetamu adalah terhad iaitu kurang 200 tetamu kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Ditanya mengenai nama dan latar belakang bakal isterinya, Haqiem masih lagi merahsiakan identiti wanita itu.

"Namanya saya akan kongsikan nanti. Tapi, umurnya 19 tahun dan dia adalah rakan kongsi perniagaan saya. Bagi saya, dia adalah pelengkap kehidupan saya," katanya.

Pada majlis perkahwinan itu juga bakal menyaksikan Haqiem melancarkan single istimewa.

"Bersempena hari bahagia itu juga, Insya-Allah, saya akan lancarkan single yang sangat istimewa. Judulnya adalah Hitam Saksi Putih yang mana menjadi simbolik akan kehadiran pasangan saya dalam kehidupan saya.

"Insya-Allah, majlis itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram saya dan akan dirakamkan juga," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:35 AM