Fizi akan berkahwin dengan Shakilla. FOTO OSMAN ADNAN
Fizi akan berkahwin dengan Shakilla. FOTO OSMAN ADNAN
Syafil Syazwan Jefri


PENYAMPAI radio Suria FM, Fizi Ali, kini sedang sibuk membuat persiapan saat akhir sempena menuju hari pernikahannya dengan pelakon, Shakilla Khoriri yang akan berlangsung Ahad ini.

“Memang persiapan ini boleh dikatakan ‘last minute’. Barang hantaran dah ada, cuma belum sempat disusun dan sebagainya. Begitu juga dengan barang cenderahati untuk diberikan kepada tetamu.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang akan berkahwin, janganlah buat persiapan saat terakhir seperti saya kerana takut ada benda atau perkara yang akan terlepas pandang,” katanya kepada Harian Metro.

Fizi, 29, berkata, kerana gemuruh dan sibuk melakukan persiapan perkahwinan itu, dia juga tidak mampu tidur nyenyak sejak dua bulan lalu.

“Selama dua bulan juga saya tak mampu lelapkan mata dengan nyenyak. Tapi, Insya-Allah, selesai majlis pernikahan dan persandingan, saya dapat tidur lena,” katanya.

Tambah Fizi, dia sendiri sudah dua minggu tidak bertemu dengan bakal isterinya itu.

“Dah dua minggu kami tak sempat berjumpa kerana kekangan masa. Jadi, kami banyak bahagikan tugas dan uruskan masing-masing.

“Tapi, pagi tadi, dia bersama ayahnya membuat kejutan di konti dan sempat juga kami bertemu seketika,” katanya.

Majlis pernikahan dan resepsi Fizi dan Shakilla akan berlangsung pada hari sama di Maju Junction, Kuala Lumpur dan menurut Fizi, itu lebih menjimatkan kos dan masa.

“Jadi, hanya ada satu majlis akad nikah dan persandingan. Kami gabungkan majlis kedua-dua belah pihak dalam satu majlis untuk menjimatkan kos dan masa.

“Selain itu, kalau disatukan, bolehlah kami mengadakan majlis yang ‘grand’ untuk semua tetamu,” katanya.

Sebelum ini, Fizi dan Shakilla merancang untuk diijabkabulkan pada 31 Disember tahun lalu namun ditunda atas beberapa hal tidak dapat dielakkan.

Untuk rekod, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 16 Julai tahun lalu selepas bercinta selama empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:35 PM