NABILA Huda
NABILA Huda
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular Nabila Huda sanggup mengeluarkan kos tinggi bagi memastikan dirinya tampil mempesona dan elegan setiap kali muncul di kaca TV.

Nabila yang juga pengacara Melodi berkata, dia mempunyai prinsip hidup iaitu setiap rezeki yang diterima akan dikongsikan dengan rakan-rakan yang selama ini bertungkus-lumus menyiapkan dirinya supaya tampak menawan.

"Saya seorang yang sanggup berhabis duit untuk nampak lawa dalam TV. Sebagai seorang bintang memang kena jaga penampilan diri dengan mendapatkan khidmat profesional untuk menyiapkan kita, terutama jurusolek.

"Setiap selebriti perlu ada pesona dan aura. Kalau kita tidak cipta penampilan, percayalah kita tidak akan nampak menawan. Jadi, saya tak kisah berhabis duit untuk diri sendiri kerana bagi saya ia satu kepuasan. "Saya seronok apabila melihat diri cantik dipandang. Sebenarnya saya susah nak terangkan perkara ini sebab ada sesetengah yang tidak sanggup mengeluarkan duit untuk menyiapkan diri mereka bagi sesuatu projek.

"Tapi pada saya, kalau kita berhabis duit untuk diri sendiri pasti ada rezeki di tempat lain. Lagipun saya okey saja untuk hidup yang sederhana sebab saya tak pernah ada sifat kedekut untuk keluarkan duit semata-mata nak jadi kaya atau memiliki harta yang banyak," katanya.

Terdahulu, Nabila berkongsi rasa teruja di Instagram apabila sering kali tampil dengan gaya berbeza setiap kali bersiaran di program Melodi setiap Ahad di TV3.

Tampil dengan gaya yang berbeza dan unik, Nabila menggunakan khidmat beberapa penata rias popular tanah air serta jurusolek artis gred A.

Menurut Nabila, dia menghabiskan separuh daripada gaji yang diterima setiap bulan untuk membayar insan-insan kreatif dan hebat bagi menyiapkan dirinya setiap kali mengacarakan program Melodi.

"Saya nak nampak watak Nabila Huda sebagai pengacara berbeza dengan watak sebagai seorang pelakon bila dalam kaca TV. Kalau nak nampak menawan jangan berkira untuk keluarkan duit.

"Mungkin saya sudah menganggap bidang ini sebagai satu kerjaya tetap. Jadi darah seni sudah sebati dalam hidup saya dan perlu mendapatkan hasil yang terbaik seiring dengan jenama program yang dikendalikan.

"Saya nak kelihatan sempurna bukan untuk orang tengok saja tapi apa yang penting adalah memastikan diri sendiri selesa, barulah saya boleh membawakannya dengan baik. Saya dari dulu sampai sekarang memang masih pegang prinsip buat kerja biar bersungguh-sungguh dan letakkan sepenuh komitmen serta guna kreativiti untuk tampil berbeza. Jika tidak keluar duit memang takkan dapat hasil terbaik dan mereka akan duduk di takuk yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:29 PM