Nabila Huda
Nabila Huda
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "I'm signing in, Melodi TV3".

Itu tulis pelakon yang kini bergelar pengacara, Nabila Huda di Instagram sekali gus menjawab teka teki mengenai namanya yang disebut sebagai pengacara program hiburan itu.

Dalam hantarannya, Nabila mengakui keputusan ini adalah sejarah buat dirinya dan dia juga keluar dari zon selesa.

"25 Julai 2021, hari ini dalam sejarah, saya keluar dari zon selesa dalam kerjaya saya. 

"Bermulalah perjalanan hidup dan tanggungjawab baru untuk menyambung legasi program hiburan yang sensasi, penuh kontroversi nombor satu di Malaysia," tulisnya.

Tambah Nabila, ini adalah satu penghormatan dan rezeki buat dirinya.

"Ini adalah satu penghormatan untuk berada dalam pasukan ini. Segala puji bagi Allah di atas rezeki yang dikurniakan kepadaku. Syukur, Alhamdulillah!

"Ini adalah penampilan sulung saya sebagai pengacara dan saya harap, anda semua dapat beri peluang kepada saya untuk meneroka perjalanan baru saya ini.

"Saya perlukan sokongan anda sebab sejak hari pertama saya menjejakkan kaki dalam industri ini, andalah yang menyokong, mengkritik, menyayangi, membenci dan umpama keluarga buat saya," tulisnya.

Nabila juga menjelaskan bahawa dia akan menjadi diri sendiri saat menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

"Apa kelainan yang saya akan buat? Tak banyak. Saya jadi diri saya, yang mana anda semua sedia tahu, Nabila Huda!

"Jujur cakap, saya masih baru. Kalau ada kekurangan, maafkan saya. Tolong jangan terlalu meletakkan harapan yang saya akan lebih baik berbanding yang lain, sebaliknya harapkan sesuatu yang tidak dijangka.

"Saya mungkin bukan yang terbaik, tetapi saya akan berikan yang terbaik. Marilah kita sama-sama melayari langkah baru ini, Malaysia!" tulisnya.

Nabila juga turut menyelitkan slogan yang menjadi tema program hiburan itu dalam hantarannya.

"Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, berdiri di atas bakat sendiri," tulisnya.

Sehubungan itu, kehadiran Nabila dalam Melodi siaran minggu hadapan akan menggantikan dua pengacara terdahulu, Awal Ashaari dan Janna Nick.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 4:19 PM