Nabila Huda
Nabila Huda
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Pelakon Nabila Huda menganggap pemilihannya sebagai pengacara program Melodi menggantikan Awal Ashaari dan Janna Nick sebagai rezeki dan hadiah daripada Allah SWT. 

Nabila atau mesra disapa Abil berkata, dia tidak boleh menutup mulut  yang  cuba mempertikaikan pemilihannya sebagai hos program itu. 

"Pada awalnya ketika saya menerima panggilan telefon daripada wakil Melodi saya ingatkan ia adalah satu 'prank'. 

"Semua orang tahu yang program Melodi ini adalah rancangan hiburan pertama di Malaysia dan saya sangat terkejut dengan tawaran yang berlaku begitu pantas pada bulan ini. 

"Pemilihan saya sebagai hos Melodi adalah rezeki daripada Tuhan, dan tiada siapa berhak persoalkannya. Tambahan pula kerjaya lakonan saya sudah lama terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Jadi tiada sebab untuk saya tolak tawaran ini kerana ini adalah satu-satunya  peluang terbesar yang saya terima daripada stesen televisyen," katanya. 

Menurut Abil, banyak perancangan yang sudah diatur memandangkan tanggungjawab yang bakal dipikul bukan calang-calang. 

"Ini adalah keputusan yang besar dalam hidup saya apabila memilih untuk menjadi pengacara Melodi. 

"Sejujurnya saya lebih selesa menjadi diri sendiri. Sebagai  manusia kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. 

"Tapi apapun yang bakal berlaku dalam hidup saya, saya akan cuba perbetulkan keadaan dan tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya. 

Semalam Abil menjawab  teka teki mengenai namanya yang disebut sebagai pengacara program hiburan itu.

Abil bakal mengacarakan program Melodi bermula 1 ogos ini pada jam 12.30 tengah hari di TV3. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:23 PM