ZAHIRIL puji jalan cerita Ada Hantu yang tidak klise.
ZAHIRIL puji jalan cerita Ada Hantu yang tidak klise.
Georgie Joseph


Sebuah lagi karya seram, Ada Hantu arahan Hairul Azreen kini ditayangkan menerusi platform penstriman Disney+ Hotstar bermula hari ini.

Apa yang menarik, filem ini menampilkan pelakon hebat Zahiril Adzim berbanding nama lain yang rata-ratanya baharu mencipta nama.

Justeru, ia menjadikan filem ini lebih berwarna-warni dengan gandingan pelakonnya.

Selain Zahiril, ia menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Elvina Chua, dan Hafiez Zaidi.

Semestinya Zahiril ada alasan tertentu untuk menyahut tawaran daripada Hairul yang juga pelakon popular untuk membintangi filem itu.

Sebagaimana yang ramai tahu, Zahiril antara pelakon yang cukup menitikberatkan mutu sesuatu naskhah dibintanginya.

Berkongsi mengenai pembabitannya, dia mengakui terdapat aspek menarik dan segar yang membuatkannya yakin untuk membintangi Ada Hantu.

Selepas mendapat tawaran itu, dia terlebih dahulu menyelami jalan ceritanya dengan lebih teliti.

"Sebelum ini pun saya memang sudah beberapa kali terbabit dengan filem seram. Tapi, untuk Ada Hantu, saya menjadi tertarik dengan corak idea Hairul kerana apa yang cuba ditampilkannya memang ada kekuatan tersendiri.

"Paling membuatkan saya tertarik semestinya 'plot twist' yang bakal mengejutkan penonton dalam naskhah ini. Ia bukan cerita biasa yang kita selalu dengar mengenai hantu dan disebabkan itulah saya bersetuju untuk terbabit," katanya.

Zahiril juga mengakui senang bekerjasama dengan Hairul walaupun dia terlalu baharu dalam bidang pengarahan.

Menurutnya, cara pendekatan Hairul memang berbeza namun mudah untuk diterima.

"Hairul adalah seorang yang tahu apa hendak dilakukannya dan bagaimana hasil diinginkannya. Dia bukan seperti pengarah lain yang mungkin memberi tekanan kepada pelakon sewaktu di set penggambaran.

"Sebaliknya, dia suka berbincang secara lebih dekat seperti berborak dengan rakan apabila ada yang ingin ditegurnya. Keterbukaannya menerima idea daripada kami juga antara aspek yang saya hormat terhadapnya," katanya.

ADA Hantu memiliki ‘plot twist’ tersendiri.
ADA Hantu memiliki ‘plot twist’ tersendiri.

Zahiril ditemui sewaktu sesi temubual maya filem itu semalam. Selain Zahiril, turut bersama dalam sesi terbabit adalah Hairul sendiri, serta pelakon utama Shiqin Kamal, Elvina Chua, dan Hafiez Zaidi.

Berkongsi lanjut mengenai filem itu, Hairul mengakui dia agak berdebar apatah lagi masih terlalu hijau dalam pengarahan.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila mendapat bantuan idea terutama daripada pelakon lain.

Tidak ketinggalan, dia juga turut meminta nasihat daripada pengarah tersohor, Adrian Teh dalam membantunya melancarkan penggambaran.

Katanya, dia sendiri masih banyak perlu dipelajari dan berharap hasil Ada Hantu bakal tonjolkan kemampuannya.

"Sebenarnya, saya dapat idea untuk naskhah ini daripada Adrian Teh. Adrian jugalah yang banyak memudahkan kerja pengarahan saya maklumlah masih terlalu baharu dalam mengendalikan tanggungjawab besar itu.

"Apapun, saya harus puji setiap yang terbabit termasuk pelakon juga kerana tidak putus berkongsi idea. Idea-idea diberikan mereka cukup padu dan saya tidak terfikir pun. Maka, saya gabungkan semua itu dalam naskhah ini," katanya.

Ada Hantu berkisar sekumpulan sahabat yang obses dengan dunia kandungan digital. Mereka kemudian mencabar diri membuat kandungan video seram di sebuah rumah terbiar demi mencapai lebih banyak tontonan.

Rumah terbabit dikhabarkan bekas tinggalan seorang jeneral tentera Jepun yang cukup kejam pada zaman dahulu.

Bagaimanapun, sekumpulan sahabat itu tidak percaya kewujudan hantu serta dakwaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:46 AM