NIZAM akui perasaan rindu menyanyi tidak pernah hilang.
NIZAM akui perasaan rindu menyanyi tidak pernah hilang.
Norhayati Nordin

NAMA dan kekuatan vokal penyanyi Nizam Laksamana, 55, pastinya tidak asing dalam kalangan peminat muzik tanah air terutama buat mereka yang meminati 'rock jiwang'.

Bapa empat anak yang cukup popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta ini masih aktif menyanyi, cuma akibat penularan Covid-19 sejak tahun lalu menyebabkan pentas nyanyian terbuka menjadi suram.

Kini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kebanyakan penyanyi meneruskan kelangsungan karier masing-masing menerusi pembabitan dalam persembahan secara maya di platform digital dan media sosial.

Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok berkata, perasaan rindu menyanyi di hadapan ramai penonton memang ada, tetapi melihat pada situasi penularan Covid-19 yang masih tinggi sekarang, harus lebih dulu wabak ini diatasi.

"Rindu nak menyanyi macam dulu memang terasa sangat, sebab ia adalah kerja biasa yang saya selalu buat sejak berpuluh tahun lalu. Namun, sekarang saya akur keadaan sudah berubah selepas pandemik ini muncul.

"Apapun, pada saya semua yang berlaku kepada kita sekarang ini adalah ujian daripada Allah. Kita kena belajar bersabar, cuba bertahan dan tidak berhenti berusaha," katanya.

Menurut Nizam, sekarang memang ramai orang berjuang hebat untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, dia juga mengalami terjejas pendapatan, namun lebih gemar berfikir positif dan bersyukur.

"Dalam keadaan ketika ini, saya lebih suka melihat ke arah diri sendiri dengan sentiasa mendidik jiwa untuk selalu bersyukur. Bagi saya, di rumah jika ada beras, minyak, telur dan gas memasak pun sudah cukup memadai, kerana kita masih boleh makan.

"Tidak perlu hidangan menu yang mewah pun. Cara bersederhana diamalkan ini sebenarnya memberi banyak kebaikan kepada kita. Malah, jika ada wang lebih, sudah pasti boleh dibuat simpanan untuk kegunaan kecemasan," katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan rakan kerana tidak boleh berjumpa disebabkan Covid-19, Nizam berkata, dia tidak pernah melupakan sahabat-sahabatnya pada waktu sukar ini.

"Saya selalu saja menghubungi rakan penyanyi lain untuk bertanya khabar mereka. Apa lagi, jika saya tahu rakan itu kurang sihat dan memerlukan sokongan semangat. Pada saya, sudah cukup untuk seorang rakan itu kita ingati dengan cara telefon bertanya khabar.

"Ingatan ikhlas itu sangat besar maknanya berbanding wang. Malah, jika saya tahu rakan-rakan berkenaan menjalankan perniagaan untuk mencari rezeki, saya terus sokong seperti membeli atau membantu promosi untuk produknya.

"Bagi saya, kini memberi semangat kepada rakan juga satu sokongan. Ia sangat memadai kerana rakan-rakan ini sebenarnya berasa selesa jika kita bertanya khabar mereka. Bahkan, jika ada rezeki lebih hulur bantuan lain pula," katanya.

Nizam berkata, dia kini lebih selesa memahat rasa syukur di hati.

Katanya, pada masa sekarang menjalani kehidupan yang serba sederhana itu lebih menenangkan dan membahagiakan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 6:35 AM