Nizam janji yang terbaik buat isteri.
Nizam janji yang terbaik buat isteri.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana, 55, diuji apabila isterinya Salwati Zulkifli, 46, disahkan menghidap kanser payudara.

Nizam yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta bersama kumpulan Laksamana berkata, isterinya yang menghidap kanser di peringkat awal mula menjalani kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

"Saya akan berusaha menyediakan yang terbaik untuk proses kemoterapi isteri. Yang diperlukan hanyalah doa daripada rakan-rakan dan peminat," katanya.

Nizam berkata, proses kemoterapi berjalan lancar, namun apabila memasuki kitaran keempat hingga keenam, dos ubat berharga RM21,000 perlu dimasukkan.

"Ubat ini perlu diambil tapi tiada dalam jadual yang disediakan hospital. Insya-Allah saya akan dapatkan untuk kitaran keempat hingga keenam ini.

"HKL ada Jabatan Sosial. Doktor sendiri cadangkan saya buat permohonan bantuan daripada mereka. Doktor juga uruskan surat untuk saya mohon di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kalau ada rezeki Insya-Allah akan dapat," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Nizam bertegas tidak mahu memohon sumbangan daripada rakan-rakan dan peminat kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

"Semua orang dalam keadaan sukar dan terkesan dengan penularan Covid-19 sekarang. Biarlah saya berusaha sendiri dengan simpanan yang ada. Selain itu, saya cuba nasib seperti arahan doktor. Mereka ada hubungan dengan Majlis Kanser Nasional (Makna).

"Sekiranya gagal mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, saya akan berusaha mencari duit dengan kudrat sendiri menjual produk Muruku Lejen. Syukur permintaan semakin banyak dalam keadaan sekarang," katanya.

Nizam berkata, isterinya mula dikesan mempunyai tanda-tanda kanser payudara selepas membuat pemeriksaan di klinik kerajaan di Gombak lebih sebulan lalu.

"Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati ada ketulan. Doktor kemudian membuat ukuran dan terus aturkan temujanji untuk ke HKL.

"Doktor pakar di HKL mengesahkan isteri saya menghidap kanser payudara tapi tak besar hanya 1.6 sentimeter. Saya terharu kerana ajaibnya doa semua pihak, semua urusan dipermudahkan," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan isterinya sudah dapat melakukan proses kemoterapi.

"Isteri saya amat sedih dan menangis selepas mendapat berita itu tapi saya banyak berikan dia semangat.

"Saya juga banyak dapatkan maklumat mengenai kanser daripada bekas pengurus Slam, Johan Aziz yang menghidap kanser usus dan hati serta isterinya yang juga menghidap kanser payudara," katanya yang mempunyai empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 12:33 PM