Shuib berdoa semoga Siti Sarah pulih dari koma.
Shuib berdoa semoga Siti Sarah pulih dari koma.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Rindu ini menyakitkan. Allahuakbar."

Itu luahan hati pelawak, Shuib juga suami kepada penyanyi Siti Sarah yang masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini.

Shuib menerusi hantaran terbaharu di Instagram turut memberikan kata-kata semangat buat isterinya agar segera sembuh.

"Sayang (Siti Sarah) saya tahu awak sudah buat yang terbaik. Awak sudah berjuang sampai anak kita selamat pun dilahirkan. Ayash Affan sudah buka mata, kaki dah tendang-tendang, tangan dan gerak.

"Syukur Alhamdulillah dan sekarang awak penat dan sedang tidur. Tapi, jangan tidur lama-lama, sayang. Saya, anak-anak dan keluarga semua rindu awak.

"Semua menunggu awak di rumah, sayang. Jangan tidur lama sangat. Kuatkan semangat dan buka mata, okay," katanya.

Dalam pada itu, Shuib juga masih memohon agar peminat dan pengikut di platform media sosial itu mendoakan kesejahteraan isterinya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tahap oksigen Siti Sarah menunjukkan peningkatan, hari ini.

Semalam, Siti Sarah selamat melahirkan cahaya matanya keempat iaitu bayi lelaki menerusi proses pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 8:18 PM