KU Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman.
KU Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Teringin, Shima, 52, yang menjadi perhatian apabila berjaya menurunkan berat badannya daripada 85 kilogram (kg) kepada 48 kg menafikan dia kedekut untuk berkongsi tips kurus dengan peminat.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berkata dia menerima banyak permintaan peminatnya di media sosial untuk berkongsi rahsia kurus itu dengan mereka.

"Peminat di Instagram ramai mendesak, ingin tahu cara pemakanan yang saya amalkan untuk kurus seperti sekarang. 

"Namun, saya tak boleh kongsi sewenang-wenangnya kerana mereka perlu jalani ujian darah terlebih dahulu untuk tahu jenis penyakit yang ada.

"Saya pun ikut nasihat doktor dan bukan pandai-pandai sendiri untuk lakukan kaedah sembarangan bagi menurunkan berat badan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shima lagi, keadaan kesihatan seseorang tidak sama dan ada kemungkinan mereka juga alah pada ubat-ubatan tertentu dan mempunyai masalah kesihatan lain.

"Tak pasal-pasal nanti, saya pula dipersalahkan oleh mereka. Sejujurnya, saya pun bukan suka-suka nak diet tanpa persediaan teliti.

"Saya bersyukur kerana tiada penyakit darah tinggi dan kencing manis. Cuma, saya hanya ada masalah kolesterol sedikit. Ketika berat saya 85kg dulu, memang agak seram dan menakutkan.

"Malah, pemeriksaan kolesterol pun tinggi. Beratnya badan ketika itu, sampai saya nak bangun dari tidur pun susah dan agak menyukarkan," katanya. 

Bagaimanapun, Shima berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 37kg dalam tempoh setahun selepas mengamalkan diet pemakanan sihat dan seimbang mengikut nasihat doktor.

"Saya pun ada masalah 'slipped disc' dan doktor sarankan supaya ubah gaya hidup. Saya ikut nasihat doktor dan kini alhamdulillah, berat badan saya sekitar 49kg hingga 51kg saja. 

"Sebelum ini berat badan saya pernah kurang hingga 46kg, tapi kena naikkan sikit kerana saya rasa seperti dah tinggal tulang dan akan sakit apabila tidur. 

"Saya bersyukur apabila doktor Aishah yang dikenali sejak tahun 1990-an, menasihatkan saya supaya diet. Tapi, sebelum itu saya perlu buat pemeriksaan darah terlebih dulu untuk tengok kesesuaian dietnya," katanya. 

Menurutnya, selain berdepan masalah 'slipped disc', dia juga mempunyai masalah badan berat yang membimbangkan.

"Saya kena 'slipped disc' di bahagian tengkuk dan di dua bahagian tulang belakang. Doktor nak bedah, tapi saya tak nak kerana kosnya tinggi. Lagipun, kadar pulih pula hanya 50 peratus. 

"Jika melakukan pembedahan di tengkuk, doktor kata saya dah tak boleh menyanyi sampai bila-bila dan tentulah saya tolak.Saya tak nak ambil risiko hilang suara walaupun dah tak menyanyi lagi," katanya. 

Apapun, Shima mengaku dia juga tak menolak makan nasi. Ujarnya, sampai sekarang dia tetap makan nasi, tapi jumlah diambil taklah banyak dan dia juga tiada pantang kecuali jangan makan ikut nafsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 8:38 PM