Keadaan Zila Bakarin yang menjalani rawatan di hospital
Keadaan Zila Bakarin yang menjalani rawatan di hospital
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Zila Bakarin kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Ampang Puteri selepas menjalani pembedahan akibat cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc). 

Zila, 48, ketika dihubungi berkata, sakitnya bermula dengan rasa sakit di kaki kiri pada dua bulan lalu, dan semakin teruk pada Selasa minggu lalu. 

"Pada awalnya, sejak dua bulan lalu, saya rasa sakit di bahagian kaki kiri dan ada masalah bila berjalan. Jadi, saya tahan saja rasa sakit itu dan makan ubat tahan sakit. 

"Waktu menjalani penggambaran pun, saya tahan sahaja sakit itu sehinggalah pada Selasa lalu, saya dah tak tahan sangat. Bukan setakat berjalan, bahkan, bila berbaring pun sakit sangat. 

"Saya tak boleh nak bergerak dan pijak lantai. Bahkan, dua hari saya tak dapat lelapkan mata sebab sakit yang teramat sangat. Jadi, saya ambil keputusan untuk ke hospital. Hari ini, dah masuk hari kelima saya dirawat di hospital. 

"Bila dimasukkan ke hospital, saya jalani imbasan MRI dan dapat tahu bahawa saya mengalami slip disc. Salah satu cakera sudah 'terkeluar' dan mengganggu saraf kaki," katanya kepada Harian Metro. 

Tambah Zila, dia sepatutnya perlu menjalani pembedahan segera, namun, ditangguhkan sehingga semalam kerana tekanan darah rendah. 

"Doktor maklumkan, sakit ini dah lama. Mungkin sekarang dah masanya ia menjadi sangat teruk. 

"Sepatutnya, saya jalani pembedahan dengan segera. Namun, terpaksa ditangguhkan kerana tekanan darah rendah dan takut berisiko. 

"Semalam, barulah saya dapat jalani pembedahan dan dah dimasukkan 3 beg darah. Hari ini, Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik, namun, masih ada rasa kebas. Hari ini juga saya jalani dua kali sesi fisioterapi," katanya. 

Tidak hanya itu, dia juga diduga dengan sakit lain yang dikenal pasti doktor saat menjalankan pemeriksaan. 

"Dah dimasukkan ke hospital, doktor kesan dua lagi penyakit lain iaitu anemia dan juga fibroid. Tapi, tak mengapa sebab kedua-duanya boleh dirawat dengan pengambilan ubat. 

"Kalau diikutkan, saya tak mahu muat naik apa-apa ke media sosial. Tapi, bila fikirkan semula, saya nak minta orang ramai untuk doakan kesejahteraan kesihatan saya," katanya. 

Zila kini perlu berehat sementara waktu di hospital untuk dipantau keadaan kesihatannya sebelum kembali menjalani penggambaran drama Luruhnya Bunga Cinta yang masih berjalan. 

"Sekarang, saya masih lagi menjalani penggambaran drama bersiri Luruhnya Bunga Cinta. Pengarah sendiri pun minta saya ke hospital. Mujurlah pasukan produksi ini semuanya baik-baik dan memahami. 

"Kalau ikutkan, saya tak mahu ke hospital sebab saya nak habiskan kerja dahulu. Saya tak mahu susahkan orang lain dengan mengganggu jadual mereka. 

"Kalau ikutkan nasihat doktor, saya perlu berehat selama dua bulan. Tapi, saya rasa, saya boleh sambung bekerja kalau dah dibenarkan keluar dari hospital nanti. 

"Setakat ini, doktor nak pantau terlebih dahulu dan saya perlu jalani sesi fisioterapi," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:13 PM