Aniq Suhair
Aniq Suhair
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Aniq Suhair berasa puas, apabila dapat bertugas sebagai sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan menangani Covid-19. 

Menerusi hantarannya di Instagram, Aniq memaklumkan dia memulakan tugasnya sebagai sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (PPC) Stadium Titiwangsa bermula semalam. 

"Tarikh 19 Jun 2021 menjadi hari pertama saya merasai sendiri pengalaman seperti mana yang dirasakan petugas barisan hadapan sejak tahun lalu. 

"Secara kebetulan, saya cuba memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, dengan menjadi sukarelawan. Saya tak sangka terpilih dan kemudian diminta untuk bertugas di zon merah di PPC Stadium Titiwangsa," tulisnya. 

Tambah Aniq, dalam pada timbul rasa risau dan takut, dia juga gembira kerana dapat membantu setiap pesakit yang hadir ke lokasi itu. 

"Badan ditenggelami lapisan PPE, hati berasa gementar, takut dan tak sabar pada masa sama. Alhamdulillah, semua pesakit Covid-19 yang datang berada dalam keadaan baik. 

"Tetapi, hati ni sebak bila melihat anak kecil dan warga emas turut hadir. Saya cuma mampu memberi kata-kata semangat dan menceriakan mereka semasa mengambil Vital Sign & SP02," tulisnya. 

"Dengan keadaan kes yang semakin meningkat, mari kita sama-sama meringankan beban petugas barisan hadapan. Kita jaga kita.

"Tolong duduk di rumah dan sama-sama kita turunkan graf jangkitan," tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Aniq turut berkongsi foto serta videonya ketika bertugas di lokasi PPC itu. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 1:10 PM