JANNA Nick meluahkan rasa kecewa di IG Story.
JANNA Nick meluahkan rasa kecewa di IG Story.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Janna Nick meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap syarikat produksi yang masih memandang ringan soal keselamatan semua pihak yang terbabit dalam produksi dan meneruskan aktiviti penggambaran. 

Menerusi hantaran di Instagram Story, Janna berkongsi dirinya antara individu yang masih perlu keluar bekerja dalam situasi genting Covid-19.

"'Self lockdown'? Entahlah. Kalau syarikat itu bapa kita punya, bolehlah 'self lockdown'. Kalau tak, selagi tak positif, selagi itulah terpaksa keluar bekerja. 

"Lagi satu, ingat berlakon boleh pakai pelitup mulut ke? Entah lah. Bukan nak merungut. Kita ini risaukan orang lain, keluarga. Takut kita jadi pembawa senyap (silent carrier)," tulisnya. 

Tambah pengacara program Melodi itu lagi, dia terpaksa menulis luahan itu memandangkan kes jangkitan baru Covid-19 semakin hari semakin meningkat dan membimbangkan.

"Dulu, kes tiga angka bolehlah kita 'yak yak ye' (bersorak). Sekarang, dah nak dekat lima angka. Nak keluar pun takut dan paranoid. 

"Bermacam macam jenis pembasmi kuman dan segala macam semburan kita bawa. Tak keluar pergi kerja, nanti kena saman pula sebab langgar kontrak.

"Maaf, terpaksa luahkan. Kes dah mencanak-canak, tetap tak nak 'total lockdown'," tulisnya. 

Dalam satu hantaran lain, Janna berdoa agar dirinya tidak membawa pulang sebarang virus  ketika bekerja sekali gus menjangkiti keluarganya.

"Marilah kita bekerja sambil mengambil risiko setiap hari, sambil berdoa agar tak bawa balik virus kepada keluarga.

"Penggambaran pula tak boleh pakai pelitup mulut. Lagi cantik! Covid-19 pun lepas 8 malam baru dia muncul," tulisnya.

Dalam masa sama, Janna berharap agar penerbit juga turut sama berada di set penggambaran dalam situasi sekarang.

"Saya harap, penerbit boleh sama-sama ada di lokasi penggambaran. Kita ambil risiko sama-sama, okey," tulisnya. 

Janna bagaimana pun tidak menamakan sebarang syarikat produksi ataupun judul karya yang dia sedang lakonkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 5:47 PM