AZHAN sering berkongsi pelbagai kisah semasa di media sosialnya.
AZHAN sering berkongsi pelbagai kisah semasa di media sosialnya.
Norhayati Nordin


DILIHAT cukup aktif membuat pelbagai hantaran di media sosial seperti Instagram, pelakon Azhan Rani, 45, boleh dikata seorang yang peka pada perkembangan berita semasa untuk dikongsi kepada pengikutnya.

Menyedari perihal kesihatan yang meruncing dalam negara sejak penularan Covid-19 tahun lalu, Azhan tetap rancak membuat perkongsian khidmat masyarakat seperti suntikan vaksin dan menderma darah.

Bagi Azhan, untuk vaksin Covid-19 adalah wajar kepada mereka yang sudah mendapat temujanji suntikan itu agar tidak melepaskan peluang rezeki diperoleh. Katanya dalam keadaan pandemik sekarang, pengambilan vaksin sangat penting.

"Saya belum dapat rezeki untuk temujanji suntikan vaksin. Nampaknya, kena bersabar lagi. Apapun, kepada anda semua yang sudah mendapat temujanji itu jangan lepaskan peluang.

"Setiap hari saya membaca laporan berita berkaitan Covid-19, kes jangkitan harian dicatat masih tinggi. Jadi, pesan saya pengambilan vaksin penting untuk kita semua dan usah ambil mudah.

"Kepada orang ramai yang sudah mendapat peluang tarikh temujanji vaksin, saya mohon anda hadirlah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan. Kita perlu dapatkan sasaran imunisasi kelompok untuk memerangi wabak ini," katanya.

Menurut pelakon drama Nur yang popular dengan watak Ustaz Hamadi, dia selalu berdoa supaya Malaysia kembali bebas daripada ancaman virus berbahaya ini. Katanya semoga kita semua dilindungi Allah dan sentiasa selamat.

AZHAN saran orang ramai menderma darah.
AZHAN saran orang ramai menderma darah.

Selain itu, Azhan juga menggesa orang ramai yang mempunyai tahap kesihatan baik supaya membuat pendaftaran dengan Pusat Darah Negara (PDN) untuk menderma darah walaupun sekarang masih dilaksanalan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

"Pada masa sekarang ada hospital yang berhadapan masalah bekalan darah semakin kurang. Justeru, saya menyeru pada orang ramai di negara ini yang sihat tubuh badan mereka supaya daftar dengan PDN untuk menderma darah.

"Dengan sumbangan darah itu, kita dapat bantu menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan. Segala maklumat untuk pendaftaran boleh diperoleh di laman sesawang PDN dan ia sangat mudah.

"Tidak sukar pun nak mendaftar temujanji dan segala maklumat itu boleh ditunjukkan kepada pihak berkuasa apabila berhadapan sekatan jalan raya (SJR) nanti. Saya sendiri setakat ini, tidak berhadapan sebarang masalah untuk hadir menderma darah," katanya.

Azhan yang aktif menderma darah sejak 2010, hingga kini sudah menderma lebih 35 kali. Malah, sejak 2016, dia menjadi penderma 'aferesis' apabila layak menderma darah setiap dua minggu.

Katanya banyak kebaikan menderma darah ini selain dapat membantu orang lain memperoleh sinar baharu dalam kehidupan. Ujar Azhan, paling utama jika kali ini kita hadir membantu orang lain, tidak mustahil apabila giliran kita nanti, ada orang lain datang membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:30 AM