AKTIVITI menderma darah menjadi rutin utamanya kerana sedar bekalan darah sentiasa diperlukan. FOTO Aziah Azmee
AKTIVITI menderma darah menjadi rutin utamanya kerana sedar bekalan darah sentiasa diperlukan. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

CUKUP dikenali dengan watak Ustaz Syed Hamadi yang dilakonkan dalam drama Nur dan Nur 2 hingga kini, bakat lakonan pelakon Azhan Rani, 44, nyata mantap.

Pun begitu, di sebalik keberkesanan setiap lakonannya itu Azhan juga amat prihatin dengan tanggungjawab sebagai masyarakat untuk saling membantu.

Katanya, bantuan yang ingin dihulurkan bukan hanya dari segi kewangan, tetapi boleh dilakukan dalam banyak cara. Malah, bantuan itu juga tidak menjurus pada kuantiti.

"Dalam soal keprihatinan pada masyarakat ini, paling utama kena ikhlas. Malah, kita juga tahu apa yang nak disumbangkan kerana segalanya dibuat atas dasar nak membantu masyarakat.

"Untuk saya, lebih selesa membantu dengan daya upaya sendiri. Mungkin bukan dari segi kewangan, tetapi melalui aktiviti menderma darah.

"Saya akan ke Pusat Darah Negara (PDN), setiap dua minggu untuk menderma plasma darah dan setiap tiga bulan pula akan menderma darah," katanya.

Menurut Azhan, aktiviti menderma darah sudah menjadi rutin utamanya. Katanya, apa yang dilakukan kerana sedar bekalan darah sentiasa diperlukan pada setiap masa.

"Apa pun, untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan ini bergantung pada diri sendiri. Macam saya, apa yang dilakukan dengan rela hati dan bukan atas niat tertentu.

AZHAN lakukan kerja kebajikan dengan rela hati dan bukan atas niat tertentu. FOTO Aziah Azmee
AZHAN lakukan kerja kebajikan dengan rela hati dan bukan atas niat tertentu. FOTO Aziah Azmee

"Dalam kehidupan ini, apa yang saya peroleh dari dahulu hingga sekarang adalah rezeki daripada Allah. Di atas usaha saya bekerja tanpa rasa jemu, Allah berikan keselesaan dan ketenangan pada kehidupan.

"Bahkan, keutamaan saya juga lebih kepada ibu. Apatah lagi, sejak ayah saya meninggal dunia pada 2016, penting buat saya bersama adik-beradik memastikan ibu gembira dan bahagia," katanya.

Ujar Azhan lagi, sekiranya mempunyai kelapangan masa dia akan membawa ibu serta ahli keluarganya makan di luar bersama termasuk merancang percutian.

Bagaimanapun, katanya berikutan penularan wabak Covid-19 dalam negara kini lebih baik duduk di rumah jika tidak ada keperluan seperti membeli barangan dapur atau bekerja.

"Pandemik ini masih ada dalam masyarakat, jadi memandangkan belum ada vaksin lagi, lebih baik kita mencegahnya sebaik mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Apapun, saya bersyukur sudah boleh bekerja semula selepas aktiviti penggambaran dibenarkan kerajaan sejak 10 Jun lalu. Namun, suasana kerjanya dalam normal baharu," katanya.

Menurut Azhan, meskipun dia tidak ada masalah kesihatan tetapi kena sentiasa berhati-hati. Katanya, soal penyakit tidak boleh dijangka, cuma dia banyakkan berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:30 AM