Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pusat Darah Negara (PDN) membuat pelbagai inovasi baharu bagi memenuhi bekalan dan memudahkan orang ramai menderma darah sepanjang pandemik Covid-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar Perubatan Transfusi dan Ketua Seksyen Bahagian Perolehan Darah PDN, Dr D Thane Moze berkata, cabaran ketika pandemik Covid-19 adalah bagi memastikan setiap penderma yang tampil menjalani proses pendermaan darah dengan lancar.

"Kami buat beberapa langkah antaranya menyediakan slip pendermaan darah yang boleh diisi secara dalam talian dan dicetak atau boleh saja disimpan dalam telefon pintar.

"Jika melalui sekatan jalan, boleh tunjuk slip itu kerana kami sudah dapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi menjalankan aktiviti mobile kami dan pendermaan darah.

"Selain itu, kami juga usahakan jika ada penderma terutama di Lembah Klang dan Putrajaya yang tidak dapat bergerak atau kekangan pengangkutan kami uruskan menerusi khidmat 'pick up,'" katanya pada Program Amal Derma Darah Bersama Azhan Rani anjuran PDN dan Summit Attack Resources di PDN, di sini, hari ini.

PETUGAS kesihatan memeriksa bekalan darah. FOTO Eizairi Shamsudin
PETUGAS kesihatan memeriksa bekalan darah. FOTO Eizairi Shamsudin

Katanya, pihaknya memberi jaminan semua aktiviti pendermaan darah adalah selamat walaupun dalam tempoh pandemik selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan PDN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Memang kami ikut SOP ketat dengan setiap penderma perlu menjalani saringan suhu badan dan mengisi borang deklarasi Covid-19 sebelum dibenarkan ke proses menderma darah.

"Kami juga beri jaminan kalau ada keraguan untuk datang ke PDN, kami sediakan insiatif untuk memudahkan penderma dengan menderma darah di pusat statik atau mobile kami mengikut SOP ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Thane Moze mengakui, trend kutipan darah menunjukkan penurunan ketara berikutan pembatalan kempen derma darah bergerak akibat peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

"Secara puratanya, keperluan darah satu Malaysia ialah sekitar 2,000 beg darah sehari, namun melihat kepada situasi semasa yang mencabar stok bekalan darah semakin menyusut.

"Misalnya di Lembah Klang saja kita memerlukan antara 500 hingga 600 beg darah sehari, namun stok sedia ada hanya mampu menampung keperluan selama lima hari saja iaitu 2,500 beg darah.

"Oleh itu, kami sedang bertungkus lumus untuk mencapai sasaran kutipan 3,500 beg darah untuk memenuhi keperluan seminggu di Lembah Klang," katanya.

ANTARA penderma darah. FOTO Eizairi Shamsudin
ANTARA penderma darah. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 4:54 PM