AZHAN RANI
AZHAN RANI
Norhayati Nordin


SETIAP dua minggu menderma plasma darah dan setiap tiga bulan pula akan menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN).

Itulah yang dilakukan pelakon popular, Azhan Rani, 44, yang suka menderma darah untuk membantu orang lain yang memerlukan.

"Saya suka menderma darah. Apatah lagi darah yang didermakan itu boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

"Sudah menjadi rutin saya setiap dua minggu sekali untuk menderma plasma darah. Manakala, derma darah pula setiap tiga bulan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azhan, sel darah manusia yang mempunyai darah merah dan plasma sangat digalakkan untuk diderma bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Plasma darah yang didermakan terbahagi kepada dua iaitu platelet dan apheresis. Jadi, apabila nak derma boleh tengok mana keperluan PDN. Untuk saya, kadang-kadang buat apheresis, kadang-kadang platelet.

"Tindakan saya menderma plasma darah ini kerana banyak kegunaannya. Contoh seperti membantu orang yang terbakar, kulit melecur, pesakit kanser, amafelia, denggi dan bermacam lagi,' katanya.

Azhan berkata, orang ramai yang menjadi penderma darah harus konsisten melakukannya supaya PDN mempunyai stok bekalan darah yang cukup merangkumi jenis darah.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya dapati ramai juga orang datang ke PDN untuk derma darah, tapi sekarang agak lengang kerana kerusi pun nampaknya banyak yang kosong.

"Justeru, saya menyeru kepada orang ramai yang ada kelapangan waktu untuk datang ke PDN menderma darah pada bila-bila masa. Ini pun boleh dikira aktiviti tanggungjawab sosial masyarakat juga," katanya.

Azhan yang cukup popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama bersiri Nur dan Nur 2 mula terbabit dengan aktiviti menderma darah sejak 2010 hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:02 PM