JAAFAR Onn dan Nabila Razali.
JAAFAR Onn dan Nabila Razali.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Artis serba boleh Jaafar Onn, 70, mendesak golongan pereka fesyen agar tidak menggunakan kain jenis warna kulit untuk rekaan pakaian artis berhijab bagi mengelakkan salah faham masyarakat.

Ia berikutan kontroversi membabitkan artis Nabila Razali yang dikecam peminat gara-gara dikatakan berpakaian seksi dan menampakkan bahagian dada sedangkan dia menggunakan pakaian warna kulit.

"Salam untuk semua pereka fesyen. Hentikan guna kain 'skin colour' (warna kulit) untuk rekaan anda pada artis yang berhijab," luahnya menerusi Facebook. 

Jaafar dihubungi berkata dia terpanggil untuk menyuarakan perkara itu sebagai inisiatif membetulkan keadaan.

"Mereka sengaja cari dosa. Kebanyakan pereka fesyen ini adalah golongan lembut. Mereka fikir cantik pada pandangan sendiri sahaja dan nak menampakkan artis itu seksi walaupun si artis memakai tudung. 

"Artis pula tak fikir mengenai perkara ini dan terus setuju. Main pakai sahaja tanpa bantahan yang sepatutnya.

"Saya pernah tegur seorang artis wanita veteran, ketika dia muncul di TV pakai turban tapi dedah bahagian dada dan bahu. Walaupun bahagian terdedah itu sebenarnya kain warna kulit, tapi ia tak manis dilihat. Sebab teguran itu juga, sampai sekarang dia tak tegur saya dah," katanya kepada Harian Metro.

Jaafar yang kini popular dengan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berkata, dia seorang yang suka berterus terang dalam sesuatu perkara termasuk dalam isu pakaian ini.

"Saya cakap terus-terang dengan artis itu. Dahlah dia pakai turban,  tapi caranya pakai warna kulit nampak mengaibkan terutama kepada golongan sebayanya. 

"Dalam dunia seni, saya dah dikira veteran. Walaupun orang labelkan saya lelaki lembut atau apa sahaja, saya patut menegur dari segi apa pun.

"Bab salah dan dosa, saya kena tegur dan mereka tak boleh nak pertikaikan. Saya bukan nak cari publisiti tapi ini tak sepatutnya berlaku," katanya. 

Menurutnya, kebanyakan pereka fesyen orang Melayu dan setiap kali ada majlis anugerah, masing-masing mahu menunjukkan kehebatan mereka pakaian tanpa mengira dosa pahala.

"Jadi saya minta pereka fesyen, janganlah hasilkan baju guna warna kulit lagi. Zaman nak seksi, nak tunjuk dada, pinggang dengan guna kain warna kulit dah tak perlu lagi.

"Ingatlah kita dah akhir zaman. Saya tegur kerana umur saya dah begini. Jangan perkotak-katikkan hal pemakaian. Kalau orang lain tak boleh tegur, siapa lagi?

"Sebagai artis, saya nampak perkara ini dan perlu tegur. Nabila Razali baru habis satu isu, takkan nak timbulkan satu isu lagi?," katanya.

Menurut Jaafar, artis popular pasti ada pembantu peribadi atau pegawai perhubungan dari syarikat rakaman, jadi takkanlah tak boleh fikir dan tolak jika pakaian diberi itu yang tak sesuai?.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 9:21 PM