Norhayati Nordin


POPULARITI sebagai selebriti media sosial yang dimiliki pelakon baharu dikenali sebagai Sharifah Rose pada masa kini membawa peluang besar buatnya untuk mencuba nasib dan membina nama dalam kerjaya seni.

Memiliki pakej lengkap dengan raut wajah cantik juga membantu wanita berusia 23 tahun ini mengumpul pengikutnya dan kelompok peminat dengan mudah.

Semakin jatuh cinta terhadap bidang lakonan, dia yang menerima pelbagai kecaman apabila dilabel 'pelakon kayu' tetap cekal dan mengambil positif. Katanya, dia sedar ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

Sharifah Rose yang kian selesa sebagai pelakon berkata, dia masih giat menimba ilmu dalam menghidupkan karakter biarpun sudah membintangi drama seperti Kisah Cinta Rumi dan Kekasih Hati Mr Bodyguard.

"Saya sebenarnya gembira melihat perubahan positif dalam karier lakonan yang baharu bertapak ini. Apatah lagi, saya sangat berterima kasih dengan rakan pelakon iaitu Redza Rosli yang banyak membantu.

"Malah, apabila melihat lakonan saya dalam drama ini (Kekasih Hati Mr Bodyguard) diakui saya sendiri boleh nampak kesalahan kecil dilakukan.

"Apapun, saya sebenarnya banyak belajar mengenai ilmu lakonan terutama bagi menghidupkan watak di set penggambaran. Alhamdulillah, pengarah dan pelakon lain sedia memberikan tunjuk ajar," katanya.

Mengakui sudah lali dan bersikap terbuka dengan kecaman diterima, Sharifah Rose berkata, dia sebenarnya banyak mendapat sokongan positif daripada rakan pelakon lain.

"Saya fikir jika dibandingkan dengan drama sebelumnya, dapat dirasakan lakonan saya dalam Kekasih Hati Mr Bodyguard menunjukkan banyak perbezaan. Memang ramai rakan pelakon yang membantu saya.

SYUKUR, Sharifah Rose akui berganding
SYUKUR, Sharifah Rose akui berganding

"Tak dinafikan, saya sangat bersyukur dapat berganding dengan pelakon utama seperti Redza kerana dia sangat membantu untuk saya mempersembahkan lakonan yang baik," katanya.

Berbicara lanjut mengenai kerjasama dengan Redza itu, Sharifah Rose berkata, kali pertama mereka berjumpa ketika sesi uji bakat dan dia berasa sangat gementar.

"Drama Kekasih Hati Mr Bodyguard adalah projek lakonan saya yang pertama sebagai watak utama. Digandingkan pula dengan Redza yang sudah banyak berlakon drama, saya jadi bimbang kerana tak pasti boleh memberi lakonan yang baik.

"Saya juga ketika itu masih tidak tahu sama ada mampu membina keselesaan dan keserasian dengannya apabila sudah bekerjasama nanti. Namun, alhamdulillah Redza memang banyak membantu," katanya.

SHARIFAH Rose cekal dan positif terima kecaman dan kritikan.
SHARIFAH Rose cekal dan positif terima kecaman dan kritikan.

Yakin dia mampu memperbaiki kelemahan dalam lakonannya seiring masa yang berlalu, baginya tidak perlu gentar menghadapi kecaman dan kritikan.

"Kita tidak akan pernah mati dengan cacian orang dan tidak hidup dengan pujian. Biar mereka nak cakap apa, saya positif sahaja," katanya.

Terdahulu, Sharifah Rose tampil pada sidang media virtual Sembang Bersama Disney+ Hotstar baru-baru ini berkongsi mengenai drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang bakal ditayangkan di platform penstriman itu.

Drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang kini ditayangkan di slot Lestary, TV3 akan ditayangkan juga di Disney+ Hotstar selepas platform itu dilancarkan kepada penonton di Malaysia dan luar negara mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:35 AM