SELEBRITI kita ada bakat, harus bijak rebut peluang cipta nama di pentas antarabangsa.
SELEBRITI kita ada bakat, harus bijak rebut peluang cipta nama di pentas antarabangsa.
Georgie Joseph


MENYAKSIKAN nama anak tempatan mencipta kejayaan di Hollywood semestinya satu kebanggaan besar buat rakyat Malaysia.

Ia menjadi petanda penting bahawa bakat artis kelahiran negara ini juga tidak kurang hebat.

Sama ada berdasarkan rezeki, profil seni kukuh dan kuasa jaringan, siapa saja pelakon kita yang mahu menolak tawaran keemasan dari sana.

Hakikatnya, itulah yang dikejar dan diharap menjadi kenyataan.

Kita harus menerima realiti bahawa nama pelakon Malaysia belum setanding anak seni lain dari Asia di Hollywood.

Jika dibandingkan pelakon dari Indonesia, Jepun dan Korea Selatan, kita masih ketinggalan.

Tidak bermakna bakat tempatan kita tidak dipandang atau disisih di peringkat antarabangsa. Ia semua bergantung kepada kecekapan mereka menyambar peluang yang ada.

Begitu juga kecekalan hati untuk bersedia mengikut arus atau corak kerja apabila berada di sana.

Setiap saat sangat berharga untuk menunjukkan bahawa artis kita harus dahagakan peluang diberi.

Apapun, beberapa tahun kebelakangan ini menjadi bukti bahawa landasan buat pelakon Malaysia semakin terbuka ke sana.

Beberapa nama menarik perhatian dan kian melakar kejayaan tersendiri menembusi perfileman Hollywood.

Paling ketara adalah pencapaian pelakon kelahiran Sarawak, Henry Golding.

Pembabitannya sebagai bintang utama dalam filem Crazy Rich Asians benar-benar menjadi tuah keemasan dalam kerjaya seninya.

Lebih hebat, dia terpilih daripada ramai-ramai nama pelakon Asia hebat lain untuk menerajui filem arahan Jon M Chu itu walaupun Henry boleh dikatakan masih merangkak dalam radar bidang lakonan.

Selepas itu, tawaran tidak putus diterimanya termasuk membintangi filem A Simple Favor bersama Blake Lively dan Anna Kendrick.

Diikuti pula dengan filem The Gentlemen bersama Matthew McConaughey, Collin Farrell dan Hugh Grant.

Bukan setakat di Hollywood, Henry turut digandingkan dengan Emilia Clarke dalam filem Last Christmas di Britain.

Tidak ketinggalan, dia menyahut cabaran watak homoseksual dalam filem Monsoon yang dibuat di Vietnam.

Terkini, dia sedang rancak mempromosikan filem terbarunya Snake Eyes yang turut menampilkannya sebagai watak utama.

Pencapaian Henry setakat ini sememangnya antara yang paling membanggakan buat masa sekarang.

Walaupun kembali menetap sementara di Malaysia sekarang, karier penyanyi Yuna juga masih berpangkalan di Los Angeles.

Paling meledak menerusi lagu Crush bersama Usher, Yuna juga pernah bekerjasama dengan Pharrell Williams, David Foster dan Owl City.

Namanya juga kini semakin bertapak kukuh di Hollywood dengan kejayaan beberapa albumnya di sana.

Bahkan, wajahnya pernah terpampang beberapa kali di skrin papan iklan di tengah-tengah New York.

Seorang lagi anak jati Malaysia yang giat membina namanya di sana adalah pelakon, Shiva Kalaiselvan. Anak jati Kuala Lumpur itu mula mencuri perhatian selepas membintangi siri Hollywood berjudul Gotham.

Berpangkalan di Manhattan, New York, Shiva membawakan watak Lelia, yang juga watak dalam DC Comics di bawah francais Batman.

Dia juga pernah terbabit sebagai bintang undangan dalam siri The Originals membawakan watak Ivy.

Tidak dilupakan juga semestinya pelakon berkaliber Maya Karin.

Pada 2019, Maya sempat berkongsi pengalaman luar biasa selepas terbabit dalam penggambaran filem Hollywood berjudul Alone di Los Angeles.

Walaupun hanya melakonkan satu babak sebagai seorang profesor, dia terharu apabila ditatang bagai minyak penuh oleh produksi berkenaan.

Diarahkan Johnny Martin, filem yang ditayangkan pada tahun lalu itu diterajui Tyler Posey.

Pelakon Angelica Lee yang berasal dari Alor Setar juga tidak kurang hebat pencapaiannya di Hollywood.

Berpangkalan di Hong Kong dan berkahwin dengan pengarah dari negara itu, Oxide Pang Chun, profil lakonannya cukup mengagumkan.

Pada 2013, dia turut membintangi filem Hollywood berjudul The Mortal Instruments: City of Bones. Tidak ketinggalan, Angelica cukup diingati menerusi filem The Eye pada 2008 selain turut membintangi filem Korea Selatan iaitu The Thieves.

Pelakon Debbie Goh juga amat bertuah mendapat peluang untuk membintangi filem bersama pelakon Superman Returns, Brandon Routh.

Mereka bergandingan dalam filem terbitan Hollywood berjudul Lost In The Pacific.

Walaupun ia filem pertama Debbie berbahasa Inggeris sepenuhnya, dia menyahut cabaran terbabit dengan bersungguh-sungguh.

Selain Routh, filem itu turut dibintangi pelakon China, Zhang YuQi dan diarahkan Vincent Zhou.

Turut membanggakan adalah pelakon senior, Pete Teo yang mencuri perhatian apabila membintangi filem Ghost in the Shell lakonan utama oleh Scarlett Johansson.

Filem arahan Rupert Sanders itu tercetus daripada idea kartun manga Jepun.

Menurut Pete, wataknya sebagai Tony sebenarnya bukan karakter asal dalam cerita manga itu.

Namun ia diwujudkan untuk filem terbabit dan sangat seronok apabila banyak terbabit adegan bersama Johansson.

Apapun, pencapaian Allahyarham Ibrahim Pendek semestinya yang paling epik kerana menjadi warga Malaysia pertama menembusi industri perfileman di Hollywood.

Beliau membintangi filem The Spiral Road arahan Robert Mulligan pada 1962.

Menariknya, pembabitan beliau berlaku tanpa diduga.

Ibrahim dilaporkan mendapat tawaran itu sewaktu mengunjungi Universal International selepas menarik perhatian pengunjung di sana.

Sentiasa diingati, Tan Sri Michelle Yeoh semestinya nama yang tidak perlu pengenalan lagi.

Nama beliau sudah terlalu cukup besar apalagi pernah membintangi filem pemenang Oscar, Crouching Tiger Hidden Dragon arahan Ang Lee.

Hampir keseluruhan kerjaya lakonannya dihabiskan di Hollywood.

Beliau juga turut membintangi filem Crazy Rich Asians sebagai watak ibu kepada Henry Golding.

Filem lain yang cukup hebat lakonannya termasuk Memoirs of a Geisha, The Soong Sisters, dan The Lady.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:51 AM