YUNA (kiri) dan Henry (kanan)
YUNA (kiri) dan Henry (kanan)
Georgie Joseph

KETIKA rakyat Malaysia dahagakan anak bangsa bersinar di persada dunia, pelakon dan pengacara Henry Golding membanggakan kita dengan pencapaiannya menembusi pasaran Hollywood.

Dia juga dengan bangga sentiasa menyelitkan asal usulnya sebagai anak jati Sarawak dalam setiap temu bual bersama media antarabangsa.

Walaupun masih baru di Hollywood, namanya disanjung tinggi ekoran kejayaan filem Crazy Rich Asians yang menampilkannya sebagai watak utama.

Peluang buatnya terus bercambah apabila turut diberi kepercayaan menggalas filem lain termasuk Last Christmas, A Simple Favor dan terbaru, The Gentleman.

Selain itu, Henry juga bakal muncul dengan filem aksi terbaru, Snake Eyes iaitu salah-satu watak dalam komik dan siri animasi popular, G.I Joe.

Dalam filem-filem berkenaan dia bergandingan dengan bukan calang-calang nama dalam kalangan pelakon kelas A di Hollywood antaranya Guy Ritchie, Matthew McConaughey, Emilia Clarke, Anna Kendrick, Blake Lively, Hugh Grant dan Collin Farrell.

Demikian juga pengarah tersohor James Wan, juga anak kelahiran Bumi Kenyalang teguh mencipta legasi dalam dunia perfileman antarabangsa.

Filemnya seperti The Conjuring, Aquaman, Insidious, Saw, Annabelle, Furious 7 dan The Nun semuanya kategori pecah panggung.

Itu baru dua nama, ketepikan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai pelakon veteran Malaysia paling berjaya di Hollywood. Yuna turut membanggakan negara selain beberapa lagi anak Malaysia yang bekerja di belakang tabir karya seni berprofil tinggi di sana.

Bagaimanapun, mengecewakan juga apabila setiap kali nama ini didendang, mereka menjadi bahan perlekeh segelintir rakyat kita. Lebih menyedihkan apabila orang kita langsung tidak kenal figura hebat ini.

Ini cukup terbukti apabila setiap kali ada liputan mengenai mereka terpampang di platform media tempatan. Boleh dikira jumlah warganet tempatan yang mengenali mereka atau sekurang-kurangnya pernah dengar dan mengikuti perjalanan karier figura berkenaan.

Selebihnya, ruangan komen cuma dibanjiri dengan sahutan bertulis yang merapu dan menjengkelkan. Jika bukan kata-kata gurauan sinis, ada pula tinggalkan komen yang tiada kaitan langsung mengenai figura atau inti pati artikel berkenaan.

Mungkin inilah lumrah yang berlaku dalam masyarakat tempatan masa kini apabila ramai terlalu jahil atau pura-pura jahil dengan perjuangan anak seni kita. Sekelumit sokongan lesap begitu saja apabila datang daripada golongan sebegini.

Entah apa susahnya untuk meluangkan sedikit masa menelaah maklumat artis kita yang sudah berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa di Internet.

Mana tahu, dalam pada tidak kenal, serta-merta rasa bangga itu lebih meluap-luap sebaik membaca pencapaian mereka.

Dari situ, pasti akan wujud rasa hormat terhadap perjuangan mereka membawa nama negara dalam setiap apa yang mereka usahakan.

Sebagaimana Yuna, dia membuktikan bahawa tiada yang mustahil buat rakyat Malaysia terutama golongan wanita untuk mencabar diri di luar sana.

Bukan bermaksud tiada yang berjaya di luar negara namun proses dilalui untuk menjadikan impian mereka realiti.

Penyanyi Dan Sebenarnya itu menempuh banyak rintangan demi membuktikan bakat dalam muziknya layak diperdagangkan di Amerika Syarikat. Belum lagi cerita dirinya dipaksa menanggalkan hijab selain mendedahkan bahagian tubuhnya semata-mata untuk sesi fotografi.

Tapi lihatlah di mana kedudukannya sekarang. Dia dicemburui ramai pemuzik tempatan yang ingin melakar nama di sana serta bekerja dengan penerbit hebat.

Yuna sendiri sudah pernah bekerja dengan penyanyi dan komposer hebat, Pharrell Williams dan David Foster.

Sebaliknya, bukan pencapaian itu yang menjadi perdebatan warganet apabila membaca mengenai perkembangan penyanyi dari Alor Setar, Kedah berkenaan. Penampilannya lebih jadi cercaan selain ada yang keterlaluan mengaitkan dia ada kepada elemen iluminati.

Begitu juga Henry, aktor tampan itu terlebih dahulu mencipta nama di Malaysia sebagai pengacara dan pelakon. Dia kemudian melebarkan sayap ke peringkat Asia Tenggara namun lebih kepada bidang pengacaraan.

Tidak lama kemudian, namanya menjadi sebutan di Hollywood sebaik filem Crazy Rich Asians yang diadaptasi daripada novel mengumumkan barisan pelakon.

Namanya lebih rancak didendang di sana pula berbanding di negara kita yang ramai tidak mengenalinya.

Kesimpulannya, masyarakat kita sepatutnya buang unsur jahil dalam diri dan perlu mengambil tahu pencapaian rakyat Malaysia di luar negara. Terutama untuk bidang seni yang jelas sentiasa mendapat liputan memandangkan hiburan kini tetap menjadi elemen paling laku dalam mana-mana organisasi media.

>>Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 11:10 AM