Datuk Nora Ariffin
Datuk Nora Ariffin
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengakuan penyanyi popular, Datuk Nora Ariffin, 48, yang dia sudah dilamar seseorang semalam bukan bermaksud mahu mematikan dakwaan mengatakan dia sudah berkahwin dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Nora ketika dihubungi berkata, dia memang sudah berniat untuk berkongsi berita gembira itu, cuma dia belum ada masa yang sesuai.

Dalam masa sama, Nora turut kecewa dengan gosip yang tular itu.

"Nama pun fitnah dan gossip, tidak perlulah saya ambil peduli," katanya.

Dalam pada itu, Nora berkata, belum masanya untuk dia berkongsi cerita mengenai bakal suaminya serta tarikh perkahwinan mereka.

Nora berkata, masih terlalu awal buatnya untuk berkongsi lanjut mengenai perkara itu.

"Lagipun sekarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita kena patuh arahan kerajaan. Lagipun memang tiada perancangan apa-apa lagi kerana ia masih di peringkat awal," katanya kepada Harian Metro. Semalam, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini mengakui sudah pun dilamar oleh seseorang untuk menjadi teman hidup.

"Alhamdulillah kali ini saya terima lamaran yang datang. Anak-anak pun okay. Sebabnya sebelum ini memang ada juga lamaran yang datang, tetapi saya menolak atas sebab belum terbuka hati.

"Bukan senang nak cari pengganti arwah abang Johan. Itulah, malu juga rasanya sebab saya dah 48 tahun. Bukan anak dara lagi," katanya.

Tanpa berselindung Nora memaklumkan, lelaki pilihannya mesti mempunyai sifat-sifat seperti arwah suaminya.

"Paling penting mestilah boleh menjaga dan mendidik saya dan anak. Saya tak risau dengan pilihan ini kerana beliau juga mengenali arwah Johan.

"Kalau anak-anak tak suka, saya memang tidak akan terima," katanya.

Ditanya sama ada akan mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran atau sederhana, Nora berkata, kebahagiaan untuk dirasai dan bukan untuk dipamerkan.

Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Pada 13 Disember 2019, Nora diduga pula dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 8:32 PM