ZARINA dan anaknya, Azal.
ZARINA dan anaknya, Azal.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Kalaulah saya yang tulis, pasti akan ada banyak kesilapan ejaan. Saya belajar pun tak tinggi."

Itu kata pelakon Zarina Zainuddin sekali gus menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia sendiri memuat naik hantaran di Instagram milik anaknya, Azal Azrai.

Ia susulan tindakan akaun Azal memuat naik beberapa gambar artis yang mendakwa mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir ke majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz, baru-baru ini.

"Saya tak pandai nak tulis macam tu. Azal punya keupayaan yang baik menulis dalam bahasa Inggeris," katanya.

Ditanya sejauh mana dirinya mengetahui perkara itu sehingga menjadi tular lalu menimbulkan reaksi pelbagai pihak, Zarina menjelaskan dia mendapat tahu apabila warganet mula 'tag' namanya di Instagram.

Menurut Zarina, ada ketikanya dia turut memantau kegiatan anak istimewanya itu, namun mengakui Azal akan tertekan andai berjauhan dengan telefonnya.

"Kalau ambil pun, dia akan jadi tertekan. Anak saya ni autisme, dia tidak ada ramai kawan, jadi selalulah dia isi masa dengan bermain telefon.

"Kadang-kadang dia akan mesej peribadi (Direct Message) sesiapa saja untuk bertanya khabar. Sampai orang lebih kenal dia berbanding saya," katanya ditemui ketika Majlis sidang media Starvendors di ibu kota, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 4:25 PM