Zarina berkongsi hubungan Azal dan Rahmah melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Zarina Zainuddin
Zarina berkongsi hubungan Azal dan Rahmah melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Zarina Zainuddin
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin memberitahu anak bujangnya, Muhammad Raizal Azrai, 27, sedang mengenali hati budi gadis dikenali sebagai Rahmah.

Zarina berkongsi hubungan Muhammad Raizal atau disapa Azal dengan gadis berasal dari Indonesia yang menetap di Singapura itu, melalui hantaran Instagram (IG), hari ini.

Zarina berkata, Azal sudah lama mengenali gadis berusia 26 tahun, namun, mereka mula akrab baru-baru ini.

"Azal dan Rahmah berkenalan ketika berniaga di ekspo di Singapura. Baru-baru ini, mereka mula rapat.

"Pada mulanya, Azal sukar terima Rahmah kerana dia lebih suka wanita tidak bertudung.

"Tetapi, selepas saya jelaskan wanita beragama Islam wajib menutup aurat, Azal faham dan lama-kelamaan, apabila tengok Rahmah layan dengan baik, akhirnya, Azal terima," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Zarina berkata, dia belum memikirkan hubungan Azal dan Rahmah berkembang ke fasa seterusnya. Zarina tidak mahu memaksa, sebaliknya, lebih suka anak terunanya itu dan Rahmah, saling mengenali hati budi.

Tambah Zarina, Rahmah tahu mengenai keadaan Azal dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Kalau ada jodoh, adalah. Saya tak letak harapan besar kerana saya tahu keadaan Azal. Sekarang, biarlah mereka berkenal-kenal dahulu, saya mahu Rahmah betul-betul ikhlas terima Azal.

"Setakat ini, apa yang saya nampak, Rahmah baik, lurus dan tidak banyak karenah orangnya. Dia sudah lama ikuti Azal di IG, jadi, dia tahu keadaan Azal," katanya.

Zarina berkata, Azal pernah menyatakan hasrat hati untuk berkahwin tetapi dia menyerahkan soal jodoh kepada takdir.

Tambah Zarina, sekiranya Azal berkahwin, dia akan meminta anak dan wanita pilihannya tinggal bersamanya terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:31 PM