Pelakon Mona Allen.
Pelakon Mona Allen.
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Pelakon Mona Allen, 36, menyelar tindakan segelintir individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menawarkannya peluang berlakon iklan judi.

Mona dalam hantaran di Instagram story meminta agar masyarakat Islam dihormati pada bulan Ramadan ini.

"Kan ini bulan Ramadan, hormatlah kita orang Islam, tak kisahlah puasa ke, raya haji ke, raya Cina, Depavali ke, tetap tak boleh.

"Takkan saya nak buat karangan panjang-panjang. Sendiri mahu ingatlah. Judi itu haram, tak kira mana pun sumber dia. Fullstop!" katanya tegas.

Terdahulu Mona yang juga isteri kepada pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim mendedahkan dia turut mendapat tawaran untuk berlakon video muzik iklan raya mempromosikan judi secara dalam talian.

Bagaimanapun, pelakon filem Salina itu bertindak menolaknya kerana sedar perkara itu bertentangan dengan ajaran agama.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung penayangan dua video iklan judi dalam talian yang dibintangi beberapa anak muda yang mengangat tema Hari Raya Aidilfitri.

Perkara itu hangat diperkatakan netizen dan menjadi kebimbangan ramai termasuk dianggap kurang ajar kerana tidak menghormati masyarakat Islam dan bulan Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:58 PM